Kerajaan henti khidmat 9 lantikan politik dalam badan belia, sukan

Kerajaan henti khidmat 9 lantikan politik dalam badan belia, sukan

Menteri belia dan sukan berkata, mereka ialah pengerusi dan pengarah dalam Institut Sukan Negara, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, Perbadanan Golf Subang dan Perbadanan Stadium Malaysia.

Free Malaysia Today
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, mereka yang ditamatkan perkhidmatan itu ialah ahli Umno yang memegang jawatan ketua Pemuda atau ketua bahagian. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menamatkan perkhidmatan 9 ahli lembaga pengarah dalam 4 badan berkaitan Kementerian Belia dan Sukan atas faktor lantikan politik, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menteri belia dan sukan itu berkata, mereka termasuk pengerusi dan pengarah dalam Institut Sukan Negara, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, Perbadanan Golf Subang dan Perbadanan Stadium Malaysia.

“Saya telah menghantar nota terima kasih kepada mereka,” katanya di lobi Parlimen hari ini tanpa menjelaskan bila nota itu dihantar.

“Mereka yang (ditamatkan perkhidmatan ialah) ahli Umno dan mempunyai posisi seperti ketua Pemuda atau ketua bahagian,” katanya sambil menambah kekosongan itu akan diisi individu bukan ahli politik.

Sementara itu, Syed Saddiq ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di dalam Dewan Rakyat berkata, kerajaan akan melaksanakan program neutralisasi untuk merombak persatuan belia yang menjadi macai politik kepada parti pemerintah seperti amalan pada era kerajaan lama.

“Kita ingin merombak dan membersihkan persatuan belia yang dilihat sebagai macai politik, kita ingin pastikan belia bebas daripada pengaruh politik dan kembalikan kuasa mereka sebagai kuasa pendesak terkuat dalam menentukan hala tuju negara.

“Saya beri contoh, kalau lihat belia 4B, Majlis Belia Malaysia, GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) yang terima peruntukan setiap tahun dari kerajaan, yang akhirnya terpaksa ikut kerajaan dan sampai satu tahap menjadi macai politik.”

Katanya, pemimpin persatuan belia juga perlu bebas daripada pengaruh politik dengan tidak memegang sebarang jawatan dalam parti politik, termasuk Pakatan Harapan.

Syed Saddiq berkata, kementeriannya juga dalam perancangan meminda Akta Pembangunan Belia untuk menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada bawah 30 tahun.

Katanya, penurunan had umur belia dan pembersihan persatuan belia antara 7 pelan pembaharuan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.