HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Pendekatan keras perlu hadapi terorisme, kata pakar

-

Pakar anti-terorisme Andrin Raj berkata, pendekatan lunak semata-mata tidak mencukupi.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Pakar anti-terorisme berkata pilihan ketenteraan masih diperlukan bagi menghadapi ancaman itu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Pendekatan bagi menghadapi terorisme mungkin berbeza dari satu negara ke negara yang lain, tetapi ada waktunya pendekatan keras diperlukan, kata seorang pakar anti-terorisme.

Andrin Raj, yang merupakan pengarah wilayah Persatuan Profesional Keselamatan dan Anti-terorisme Antarabangsa (IASSP) di Pusat Kajian Keselamatan (CSS) berkata, pendekatan lunak semata-mata mungkin tidak mencukupi.

Beliau memberi komen terhadap kenyataan bekas menteri pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berhubung penggunaan pendekatan lunak bagi menangani keganasan dan terorisme, bukannya pendekatan ketenteraan.

Hishamuddin yang mempersoalkan keputusan Putrajaya menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) berkata, tujuan tunggal pusat itu ialah meneroka penggunaan pendekatan lunak dalam menghadapi keganasan dan terorisme kerana pendekatan keras tampak kurang berhasil.

Walaupun banyak pihak melihat penutupan pusat itu satu “kerugian besar” kepada Malaysia, Andrian berkata keputusan kerajaan itu tidak akan menyebabkn kesan buruk kepada negara.

“Saudi tidak perlu berasa terkilan kerana ia merupakan keputusan kerajaan sebuah negara berdaulat.

“Tidak kelihatan tanda-tanda pusat tajaan Saudi itu berkesan dalam usaha menangani radikalisasi dan ekstremisme di Arab Saudi,” katanya kepada FMT.

Andrian berkata, proses radikalisasi di Arab Saudi berbeza dan KSCIP mungkin tidak berkemampuan mengatasi keganasan dan terorisme di rantau Asia Tenggara kerana masyarakatnya berbilang budaya dan agama.

“Oleh sebab itu pakar agama dan anti terorisme dari rantau itu diperlukan untuk mengatasi ancaman di Malaysia dan serantau.

“Malaysia kini menggunakan sistem 2 pendekatan, iaitu lunak dan keras bagi menghadapi ancaman berkenaan.

“Keadaan yang dihadapi berbeza dari satu negara ke negara lain, tetapi ada masanya pendekatan keras diperlukan kerana pendekatan lunak semata-mata tidak mencukupi.

“Ketika ditanya apakah Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) boleh menggantikan peranan KSCIP, Andrian berkata ia mestilah melibatkan pakar anti-kenanasan dan anti-naratif yang tahu bagaimana untuk menangani ancaman tersebut.

Pakar keselamatan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohamad Faisol Keling berkata, Midas perlu dikembangkan bagi menjadikannya lebih produktif dan berkesan, dan memastikan keselamatan negara tidak dikompromi.

“Keputusan kerajaan membayangkan keyakinannya dalam menghadapi ancaman ini dan ia tentulah didasarkan kepada cadangan penasihat pertahanan dan pegawai kanan angkatan tentera.

“Antara isu yang perlu ditangani ialah pencerobohan ketenteraan dan pemantauan gerakan subversif yang ditaja negara asing serta penglibatan rakyat Malaysia dalam kegiatan terorisme,” katanya.

Faisol juga bersetuju bahawa ancaman terorisme dan keganasan memerlukan kedua-dua pendekatan keras dan lunak.

“Sepatutnya kedua-dua pendekatan diperlukan. Tetapi pendekatan lunak dipercayai lebih berkesan kerana ia menangani isu asasi,” katanya.

“Sekiranya pendekatan ini digunakan dari awal, ia dapat menghalang ancaman itu menjadi bertambah buruk.

“Sebagai negara contoh kepada negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan diiktiraf oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Malaysia perlu mempunyai pendekatannya sendiri bagi menghadapi ancaman tersebut,” katanya.

KSCIP mula beroperasi pada Mei 2017 dalam usaha membetulkan persepsi masyarakat dunia tentang Islam.

Kegiatannya melibatkan golongan ulama Islam, ahli akademik, agensi perisikan dan beberapa pusat tertentu di peringkat serantau dan antarabangsa.

KSCIP bukan sahaja memberi tumpuan kepada pakar ketenteraan, tetapi juga mengandungi unsur akademik dengan peranan utama memerangi ancaman pengganas dan penyebaran propaganda serta ideologi oleh kumpulan pelampau dan pengganas.

Sejak pengumuman penutupannya, pejabat sementara KSCIP di Menara HLA di Jalan Ampang juga diarahkan ditutup serta merta, dengan Midas, yang dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan, mengambil alih peranan dan fungsi KSCIP dalam memerangi ekstremisme.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.