
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau membawa gagasan itu selaras dengan ajaran yang termaktub dalam al-Quran.
“Gagasan ini al-Quran yang kata, bukan Mujahid kata, Mujahid hendak sampaikan sahaja. Konsep dan gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin ini bukanlah sesuatu yang baru. Mesej dakwah dibawa junjungan besar Nabi Muhammad bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh alam.
“Perlu ingat gagasan inilah yang mendamaikan 2 nama besar, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy sebelum ini,” katanya semasa Dialog Menteri Rahmatan Lil A’lamin di Malaysia bertempat di Universiti Malaya, malam tadi.
Mujahid menegaskan beliau tidak mencari kontroversi dalam isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pendakwah antarabangsa Zakir Naik atau isu operasi khalwat.
Katanya, beliau sesekali tidak mengiktiraf golongan LGBT dan menegaskan bahawa dosa tetap dosa, tetapi tambah beliau dalam gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin, semua golongan masyarakat, terutama transgender tidak boleh dizalimi, disakiti sesuka hati atau dipinggirkan.
Malangnya kata Mujahid, wujud “golongan selapis” yang kini menjadi budaya dan mahu mengikut satu cara atau pendekatan sahaja.
“Dalam isu Zakir Naik, saya katakan berdebat bukan satu-satunya cara berdakwah dalam Islam. Berdebat mungkin sesuai di satu negara tapi tidak sesuai di negara lain. Saya tidak hina sesiapa pun.
“Dalam isu operasi khalwat, saya ditemu bual oleh suratkhabar berbahasa Inggeris selama 40 minit, tetapi bila saya dan pegawai mendengar balik transkrip temu bual itu, langsung saya tidak sebut operasi dihentikan pada waktu malam dan tiada lagi ketuk pintu.
“Saya hanya bercakap tentang isu kesalahan ataupun yang dikatakan ruang awam dengan ruang peribadi dan prosedur operasi standard (SOP) bagi penguatkuasaan aktiviti khalwat akan ditambah baik,” katanya.
Mujahid turut menyuarakan kehairanan beliau terhadap segelintir pihak berfikiran sempit yang menuduh beliau ingin membuka ruang kepada golongan liberal menguasai negara apabila beliau mengambil langkah berunding dengan semua pihak.
Beliau bagaimanapun yakin gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan dapat meningkatkan nilai murni masyarakat dan pentadbiran negara, sekali gus menjadikan Malaysia model negara Islam dunia.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram