HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Jumpa dalam kereta kerana tak boleh jalan, kata Shahidan

-

Shahidan Kassim mengalakkan anak muda menyertai aktiviti halal.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahidan Kassim cuba menjelaskan keadaan sekitar pertemuannya dengan seorang gadis berusia 15 tahun yang membuat dan menarik balik laporan menuduh pemimpin Umno itu mencabul dirinya.

Ahli Parlimen Arau berkata dia mahu menyampaikan sumbangan kepada kumpulan busker yang dianggotai gadis itu tetapi terpaksa dilakukan dalam kenderaannya kerana dia “tak berapa boleh berjalan”.

“Saya memberi galakan kepada semua anak muda supaya terlibat dalam aktiviti halal. Jadi saya tolong kumpulan muzik. Itu perkara biasa. Atas niat ini saya anggap mereka anak-anak dan cucu-cucu saya.

“Tidak timbul lebih daripada itu, lagipun saya tak berapa boleh berjalan,” katanya ketika ditanya tentang dakwaan dia berduaan dengan gadis itu pada kira-kira 11.30 malam 20 Oktober lalu.

Shahidan berkata penyerahan sumbangan itu disertai penasihat kumpulan busker Datuk Seri Shahidan Kassim (DSSK), bernama Azhar.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen hari ini, ditemani peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff.

Semalam, Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd mendedahkan senario sebalik dakwaan seorang gadis disentuh seorang ahli Parlimen secara tidak wajar.

Menurut polis, gadis tersebut seorang penyanyi dalam kumpulan busker dan pada malam kejadian sedang berlatih bersama rakan-rakan sekolah di kawasan sebuah stadium.

Menurut polis, ahli Parlimen itu meminta gadis itu bertemunya dalam kenderaan Toyota Harrier berdekatan tempat latihan diadakan “untuk berbual”.

Guru yang menjalankan latihan itu membawanya ke kenderaan itu dan pembantu ahli Parlimen itu membawanya memasuki kereta di bahagian tempat duduk wakil rakyat itu.

Menurut polis, ahli Parlimen dan gadis itu berduaan dalam kenderaan itu. Satu laporan polis dibuat pada 2.50 pagi (21 Oktober) tetapi ditarik balik pada 10.30 pagi.

Sementara itu, Shahidan pasti semua pihak memahami penjelasannya dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan terhadapnya.

“Walaupun kes ini telah ditutup namun pihak polis akan meneruskan kerja-kerja mereka,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menular cerita itu.

“Saya akan bincang dengan peguam tapi tidak pasti saya akan berdiam diri,” katanya.

Polis sudah merakamkan 10 keterangan setakat ini sejak laporan pertama dibuat, termasuk satu daripada ahli Parlimen itu.

Kes disiasat bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.

Di bawah Seksyen itu, mana-mana individu yang bertujuan melakukan seks dengan menyentuh mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.