
Bekas perdana menteri itu berkata, semasa membentangkan Bajet 2018 tahun lalu, beliau menyediakan peruntukan besar RM6.5 bilion bagi sektor pertanian.
“Saya lihat hari ini ada kemungkinan bantuan-bantuan ini tak dapat diteruskan atau sudah dipotong, umpamanya RM200 untuk penoreh getah pada musim tengkujuh, pesawah padi RM200 dan RM300 sebulan untuk para nelayan.
“Ini semua tak akan diteruskan oleh kerajaan PH dan sudah tentu kumpulan-kumpulan yang mudah terjejas ini akan terkesan,” katanya menerusi siaran langsung Facebooknya hari ini.
Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib dalam Bajet 2018 memperuntukkan RM6.5 bilion untuk memperkasa dan memajukan sektor pertanian negara bagi memanfaatkan pesawah, petani, pekebun kecil, nelayan dan penternak.
Sementara itu, ahli Parlimen Pekan itu turut menjangkakan kadar pengangguran akan meningkat, di mana 7,000 pekerja akan hilang pekerjaan setiap bulan.
“Ini semua akan menyebabkan permintaan di negara kita menguncup dan saya bimbang bila keadaan dalaman semakin terancam dan luaran semakin lemah dan tidak menentu seperti ramalan Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
“Tahun hadapan merupakan tahun yang amat mencabar kepada rakyat Malaysia.”
Najib berharap kerajaan PH menumpukan cara untuk terus membangunkan rakyat dan ekonomi negara.
“Rakyat sepatutnya tidak dibebankan dengan cukai-cukai tambahan yang saya difahamkan terpaksa diperkenalkan kepada mereka.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram