
Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pasport Shafee diserahkan sehingga 17 Januari.
Peguam Shafee, Wan Aizuddin Wan Mohammed berkata ia adalah amalan biasa bagi peguam dari Semenanjung untuk mendapatkan permit kerja dari imigresen Sabah.
“Dia mengendalikan kes jenayah di Mahkamah Tinggi Tawau. Sebagai peguam dari Semenanjung Malaysia, untuk berkhidmat di Sabah, dia perlu mendapat kebenaran “ad hoc”. Beliau juga perlu mendapatkan permit kerja dari imigresen Sabah.
“Jadi dia memerlukan pasport antarabangsa untuk tujuan itu,” katanya kepada pemberita selepas prosiding hari ini.
Shafee diarah menyerahkan pasportnya ke mahkamah pada 13 September lalu ketika beliau didakwa dengan 4 tuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan pembayaran RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.
Dalam 2 pertuduhan pertama, Shafee dituduh menerima bayaran sebanyak RM4.3 juta dan RM5.2 juta antara Ogos 2013 dan Januari 2014.
Dalam dakwaan berikutnya, beliau dituduh membuat pengisytiharan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi jumlah yang sama antara Mac dan Jun 2015.
Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) Amla, Shafee berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun bagi dakwaan perisytiharan palsu dan 5 tahun bagi penerima RM9.5 juta.
Beliau juga berdepan denda maksimum RM5 juta atau 5 kali ganda wang yang diterima.
Dakwaan itu dibuat selepas bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap Shafee pada Jun, mengatakan beliau tidak dibicarakan dengan adil berhubung dakwaan oleh laman web pemberi maklumat, Sarawak Report kerana Shafee dikatakan menerima RM9.5 juta yang dipindahkan daripada akaun peribadi Najib.
Pemimpin PKR itu berkata keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 untuk mensabitkannya meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan dibuat secara tidak berperlembagaan.