HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

6 bulan amaran sebelum perokok dihukum langgar larangan rokok

-

Timbalan menteri kesihatan berkata, tempoh itu akan digunakan untuk mendidik rakyat mengenai dasar baharu yang dikritik pengusaha restoran kerana bimbang ia akan menjejaskan perniagaan mereka.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Lee Boon Chye berkata, papan tanda ‘dilarang merokok’ perlu dipaparkan di tempat menonjol dan ia termasuk rokok elektronik (vape) serta shisha yang mengandungi nikotin.

KUALA LUMPUR:
Selepas larangan merokok berkuat kuasa mulai bulan depan, kerajaan akan memberi tempoh 6 bulan kepada perokok dengan mengeluarkan amaran kepada pesalah, sebelum menghukum mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata tempoh itu akan digunakan untuk mendidik rakyat mengenai undang-undang baharu itu yang dikritik pengusaha restoran bimbang ia akan menjejaskan perniagaan mereka.

“Enam bulan pertama lebih ke arah memberi amaran dan pendidikan.

“Penguatkuasaan akan dilakukan secara berperingkat oleh Jabatan Kesihatan negero,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, kedai makan tidak boleh menyediakan kemudahan kepada perokok, seperti bekas abu rokok dan kawasan merokok.

Katanya, pemilik restoran yang sukar menghalang pelanggan merokok, boleh membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan melalui hotline 03-88924530.

“Jika mereka mahu merokok, mereka perlu melakukannya sekurang-kurangnya 10 kaki dari premis itu,” katanya sambil menambah perokok yang ingkar akan dihukum.

Beliau berkata, papan tanda “dilarang merokok” perlu dipaparkan di tempat menonjol dan ia termasuk rokok elektronik (vape) serta shisha yang mengandungi nikotin.

Beliau berkata, larangan merokok itu terpakai ke atas semua restoran, kedai kopi dan pusat penjaja mulai 1 Januari, termasuk kedai makan terbuka.

Lee mengakui larangan itu akan berdepan masalah penguatkuasaan.

“Perkara paling penting bukan sahaja penguatkuasaan, tetapi juga pendidikan dan kerjasama orang ramai.

“Kita memerlukan bantuan mereka untuk mendidik perokok dan bukan perokok bagi menggalakkan perokok tidak merokok di kawasan larangan merokok.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.