
Walaupun Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dikhususkan untuk kaum Cina mempelajari bahasa dan menerapkan kanak-kanak dengan budaya tradisi mereka, kini ia juga merupakan pilihan ibu bapa dari kaum lain seperti Melayu dan India.
Di Alor Gajah Melaka, SJKC Sin Min menjadi pilihan ibu bapa dari kaum Melayu dan India untuk pilihan sekolah anak-anak mereka.
Menariknya, sejak beberapa tahun yang lalu, SJKC Sin Min menerima lebih ramai pelajar Melayu berbanding Cina sehinggakan suasananya tidak ubah seperti sekolah kebanggsaan.

Memetik laporan Harian Metro, pelajar Melayu merupakan majoriti pelajar berbanding pelajar dari bangsa Tionghua. Dari keseluruhan 55 pelajar, hanya 9 dari mereka berbangsa Tionghua.
Lebih menarik, bagi sesi persekolahan 2019, sekolah itu memiliki 44 orang murid berbangsa Melayu dan 2 murid berbangsa India. Bagi pelajar tahun 1 sesi 2019, hanya terdapat seorang berbangsa Tionghua berbanding 12 pelajar Melayu.
Guru Besar SJKC Sin Mih, Goh Seng Hua mengesahkan kekurangan murid Tionghua di sekolah tersebut sejak 10 tahun lalu disebabkan penghijrahan kebanyakan masyarakat itu dari sekitar pekan Lubok Cina ke pekan Masjid Tanah dan pusat bandar.

“Seramai 11 guru termasuk saya mengajar dalam kelas yang majoriti murid adalah Melayu dan yang paling menarik tiada langsung murid Cina dalam tahun 5 tahun depan,” katanya ketika ditemui.
Ibu bapa juga melihat ia peluang terbaik bagi anak mereka belajar di sekolah vernakular bagi menguasai bahasa Mandarin sebagai persediaan masa depan.