Anak lambat berjalan, ikuti 5 tips latih si manja bertatih

Anak lambat berjalan, ikuti 5 tips latih si manja bertatih

Anak yang lambat berjalan tidak semestinya berdepan kecacatan, ia lazimnya berkaitan sensori motor dan sikap si kecil itu sendiri yang mungkin takut mengimbang badan.

Memiliki anak kecil yang baru bertatih adalah momen indah untuk setiap ibu bapa. Maklumlah itulah masanya ibu dan ayah teruja dan tidak sabar-sabar melihat si kecil berjalan sempurna.

Namun ada yang merungut, anak berusia lebih 15 bulan tapi tidak boleh berjalan lagi.

Jangan bimbang kerana ia tidak bermakna anak anda berdepan sebarang kecacatan cuma masalah itu berkaitan sensori motor dan sikap si kecil itu sendiri yang mungkin takut mengimbang badan untuk berjalan.

Seorang ibu muda, Zila Mahdi berkongsi pengalaman berdepan masalah anaknya yang tidak boleh berjalan walaupun usianya melebihi setahun 4 bulan. Beliau juga berkongsi aktiviti yang boleh dilakukan untuk memberi motivasi pada anak agar lebih yakin berjalan sendiri.

1) Dapatkan nasihat doktor

Segeralah bertemu doktor sekiranya si kecil anda melangkaui usia 15 bulan tetapi masih tidak menunjukkan sebarang tanda untuk ‘berjalan’.

Ada kemungkinan anak anda berdepan dengan masalah yang memerlukan perhatian perubatan.

Jurupulih bertauliah dapat membantu mengesan masalah sebenar si kecil. Sekiranya bermasalah, sesi terapi akan dapat membantu anda.

2) Kenal pasti jenis kaki si kecil

Manusia dilahirkan dengan 3 jenis kaki berbeza iaitu kaki rata, kaki neutral dan kaki lengkung. Biasanya individu yang sukar berjalan terdiri daripada mereka yang memiliki kaki rata di mana tapak kakinya mendatar.

Kaki jenis rata dapat dikesan dari tapak kaki yang tidak mempunyai lengkungan, dari ibu jari hingga tumit, yang juga dikenali pronator. Manakala kaki neutral adalah jenis tapak yang umum dimiliki ramai dengan sedikit lengkungan di bahagian tengah. Kaki lengkung pula keadaan terlebih lengkungan.

3) Ajar berjalan tanpa dipimpin

Ajar si kecil berjalan tanpa berpaut pada apa-apa. Apabila dia berdiri atau pegang meja, biarlah ibu bapa duduk di tepi atau belakang anak. Panggil nama si kecil supaya anak anda boleh berpusing dan berpaut pada tangan anda. Ataupun letakkan mainan yang diminati, dengan cara itu dia cuba melepaskan tangan dan melangkah dengan berani.

4) Ajar si kecil melangkah

Gunakan Walker Wagon, inovasi terbaru untuk mendorong si kecil melangkah dengan sempurna. Selain itu, cuba beri arahan kepada si kecil untuk mengambil mainan agar dia akan terus bertatih.

5) Imbangi badan

Aktiviti mengimbangi badan boleh dilakukan dengan menggunakan bola gym. Tiarapkan si kecil dan pegang di bahagian pinggang sebelum menggolekkan bola itu ke depan dan belakang, kiri dan ke kanan.
Selain itu dudukkan si anak di atas bola dan pegang pinggul serta golekkan ke depan dan belakang.

Tapi sebelum itu, awasi perkara-perkara di bawah:

  • Pastikan rumah anda selamat untuk mencegah anak mendapat kecederaan. Periksa setiap sudut, tangga, alat penghadang apabila si kecil mula bertatih.
  • Jangan paksa si anak berjalan terlalu awal. Ini kerana kakinya mungkin belum sedia untuk menyokong badannya.
  • Pastikan ada perabot untuk si kecil tumpang ‘berpaut’ bagi memudahkan pergerakannya.
  • Bantu si kecil imbang dirinya, berdiri atau melutut dan benarkan dia berjalan ke depan dengan sokongan anda.
  • Permainan jenis tolak dan tarik juga sangat sesuai untuk si kecil kerana mereka boleh belajar proses menendang dan dalam masa sama bermain. Aktiviti ini menggalakkan koordinasi mata dan keseimbangan badan.
  • Jangan tinggal si kecil bersendirian ketika dia mula melangkah kerana besar kemungkinan dia akan jatuh

Semoga panduan ini berguna kepada ibu bapa yang memiliki ‘nasib’ yang sama, selamat mencuba.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.