Kenali 7 makanan simbol kebahagiaan Cina

Kenali 7 makanan simbol kebahagiaan Cina

Bagi memastikan tahun baru yang bakal membawa seribu kebaikan, pelbagai langkah diambil untuk menjamin semua yang diharapkan dapat dicapai, ini termasuk makanan.

Sambutan Tahun Baru Cina adalah tradisi yang dinantikan saban tahun oleh masyarakat Cina di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia.

Hal ini kerana perayaan tersebut cukup kaya dengan simbol dan budaya menarik agar sepanjang tahun akan dikurniakan dengan kemewahan, kekayaan dan kebahagiaan, bukan sahaja bagi individu yang menyambut malah seluruh keluarganya.

Bagi memastikan tahun baru yang bakal membawa kebaikan dan positiviti, pelbagai langkah diambil untuk menjamin semua yang diharapkan dapat dicapai. Antara langkah yang diambil adalah melalui makanan.

Dalam budaya Cina, terdapat beberapa jenis makanan dilihat sebagai simbol pada kemewahan, kekayaan, kebahagiaan dan sebagainya.

Di bawah adalah 7 makanan yang melambangkan simbol kebahagiaan pada Tahun Baru Cina yang anda kena tahu:

1. Ikan

Ikan ataupun merupakan antara makanan yang wajib ada pada makan malam keluarga menjelang Tahun Baru Cina.

Sebutan ‘ikan’ dalam Mandarin merujuk kepada maksud ‘lebihan’. Oleh itu, masyarakat Cina percaya dengan memakan ikan, khususnya spesies ikan tertentu pada malam sambutan, akan ada simpanan (lebihan) pada penghujung tahun agar mereka dapat lebih banyak lagi pada tahun seterusnya.

Memilih Ikan

Lazimnya, masakan paling popular untuk sediakan sajian ikan pada Tahun Baru Cina adalah secara mengukus. Untuk memilih ikan yang sesuai untuk dihidangkan, masyarakat Cina pegang pada satu prinsip sahaja; pilih ikan yang mempunyai homonim bertuah.

Sebagai contoh, ikan keli, dalam bahasa Mandarin, disebut sebagai (鲶鱼 niányú /nyen-yoo/) iaitu homonim perkataan 年余 (nián yú) yang memberikan maksud ‘tahun yang mempunyai lebihan’.

2. Ladu Cina

Ladu merupakan makanan yang sebati dalam sajian masyarakat Cina sejak lebih 1800 tahun dahulu. Ladu merupakan sajian tradisional yang sering dikaitkan dengan jamuan makan malam Tahun Baru Cina, khususnya di utara China.

Ladu Cina merupakan sajian wajib Tahun Baru Cina kerana ladu merupakan simbol kekayaan. Hal ini demikian kerana bentuk ladu adalah sama seperti wang emas yang berbentuk seperti bot kecil.
Menurut kepercayaan, lebih banyak ladu yang dimakan semasa sambutan, lebih banyak wang yang anda akan jana sepanjang tahun tersebut.

Lazimnya, inti ladu yang disediakan adalah daging khinzir cincang, ketulan udang, ikan, daging ayam kisar, daging lembu dan sayur. Hidangan itu disediakan secara merebus, mengukus, goreng atau bakar.

3. Popia

Popia ataupun Chūnjuǎn (春卷), pada mulanya, disediakan untuk dinikmati semasa Pesta Musim Bunga. Popia merupakan hidangan yang cukup popular di wilayah di Timur China seperti di Jiangxi, Jiangsu, Shanghai, Fujian, Guangzhou, Shenzhen dan Hong Kong.

Popia merupakan gulungan berbentuk silinder yang diisi inti sayur, daging atau sesuatu yang manis. Inti digulung dengan kulit pastri yang akan digoreng hingga menjadi warna perang keemasan.
Bagi individu berketurunan Kantonis, popia merupakan sebahagian daripada hidangan dim sum. Pada Tahun Baru Cina, popia merupakan hidangan yang menandakan kekayaan kerana popia kelihatan seperti jongkong emas.

4. Pulut (Nian Gao)

Kek Pulut atau Nian Gao juga merupakan satu sajian tradisional wajib ada setiap kali  makan besar.
Bagi masyarakat Cina, Nian Gao ialah homonim yang merujuk pada frasa ‘semakin tinggi tahun demi tahun’. Hidangan Nian Gao ada dijamu semasa makan malam adalah cukup penting bagi golongan peniaga kerana hidangan ini menandakan peningkatan dan pengembangan perniagaan mereka ataupun terdapat kemajuan dalam kehidupan mereka.

Nian Gao lazimnya manis dan disediakan menggunakan bahan-bahan seperti pulut beras, gula, buah berangan, kurma cina dan daun bunga teratai.

5. Bebola Pulut Manis

Bebola pulut manis atau Tāngyuán (汤圆) juga dihidangkan semasa sambutan Pesta Tanglung tetapi di selatan China, bebola pulut manis dimakan semasa Tahun Baru Cina.
Sebutan dan bentuk bebola pulut ini seringkali dikaitkan dengan hubungan kekeluargaan yang erat dan kesatuan. Oleh sebab itu hidangan tersebut merupakan hidangan wajib semasa jamuan makan malam.
6. Mihun Panjang

Mi panjang ataupun Chángshòu Miàn (长寿面) merupakan hidangan yang dikaitkan dengan umur panjang. Mi yang panjang dan tidak dipotong menandakan kepanjangan usia individu yang diberikan mi tersebut.

Hidangan mi panjang ini biasanya disediakan dengan menggoreng atau dimakan dengan sup.

7. Buah Bertuah

Untuk sambutan Tahun Baru Cina, buah-buahan tidak ketinggalan untuk dijamu malam yang penting.
Antara buah-buahan yang dilihat sebagai membawa tuah ialah buah oren, limau dan limau gedang. Buah-buahan ini dipilih kerana bentuk bulat dan warna keemasan yang melambangkan kemewahan dan kekayaan.

Adakah anda sudah bersedia untuk sambutan Tahun Baru Cina? Jangan lupa untuk hadiahkan atau sediakan makanan-makanan tuah ini agar Tahun Baru Cina kali ini membawa segala kekayaan dan kemewahan kepada anda dan keluarga.
Jika anda tidak menyambut, kongsilah dan hadiah rakan-rakan dan ahli keluarga yang menyambut dengan makanan-makanan tuah ini. Salam tahun baru semua!

Artikel ini diterbitkan di dalam www.butterkicap.com

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.