Nian Gao ataupun kuih bakul dipercayai membawa tuah menjelang Tahun Baru Cina kerana ‘nian’ bermaksud ‘melekit’ yang sama bunyi dengan ‘tahun’ manakala ‘gao’ bermaksud ‘kek’ atau sama bunyi dengan tinggi.

Jadi ia seolah indikasi bahawa setiap tahun baru yang tiba, setingkat lagi kemajuan dicapai dalam kehidupan seseorang.
Baru-baru ini FMT Ohsem berpeluang menemui sepasang suami isteri muda yang menjual kuih bakul goreng sebagai punca pendapatan utama mereka. Pasangan ini ditemui di Plaza Pudu ICC, Jalan Kijang, Kuala Lumpur menjalankan perniagaan tersebut bagi meneruskan legasi arwah ibu.
Teng Li Fung, 40 dan suaminya Pon Ah Kiong, 48 menjalankan perniagaan kuih bakul goreng bukan hanya pada musim perayaan Tahun Baru Cina tetapi setiap hari kecuali Isnin yang mana merupakan hari cuti mereka.
Li Fung berkata, beliau dan suami menjual kuih bakul goreng sejak berkahwin tetapi suaminya membantu ibunya menjual sejak berusia 11 tahun. Menariknya, kuil bakul yang sinonim pada musim Tahun Baru Cina bukan hanya dijual pada waktu perayaan sebaliknya sepanjang tahun.
“Kami mahu setiap kali anda makan kuih bakul goreng kehidupan akan menjadi lebih baik setiap hari, bukan secara tahunan sahaja.

“Kebanyakan orang berbangsa Cina pasti menikmati kuih ini sejak kecil sebagai makanan ringan. Tak kira anda peminat kuih bakul goreng ataupun kukus ia adalah satu kenangan yang pasti menyimpan banyak nostalgia indah,” katanya kepada FMT Ohsem mengenang memori peribadinya.
Tambah Li Fung, kuih bakul selalunya berkait rapat dengan Tahun Baru Cina serta nilai persahabatan atau kejiranan pada waktu itu.
Malah katanya, pada suatu masa dahulu, golongan tua amat mahir membuat kuih bakul kukus mahupun goreng walaupun prosesnya sangat rumit.
“Namun generasi muda sekarang berbeza, kerana mereka terikat dengan pelbagai cabbaran dan perkara yang lebih penting seperi kerjaya,” katanya yang akui populariti terhadap makanan traidisional itu bagaimanapun terus terpelihara.
“Sebab itu gerai kami dikunjungi oleh semua lapisan umur yang ingin menikmati kuih bakul goreng bagi mengimbas kembali memori lama yang cukup bermakna.
“Generasi muda sekarang yang singgah ke gerai ramai lebih memilih kuih bakul goreng satu lapis kerana mereka bukan pengemar ubi keladi atau ubi keledek. Kami menjual 2 jenis kuih bakul sahaja di gerai kami iaitu kuih bakul 3 lapis dan juga selapis mengikut permintaan,” katanya.

Kuih bakul mula dikesan kewujudannya 1,000 tahun lalu pada awal Dinasti Liao di mana ia dimakan pada hari pertama bulan pertama tahun lunar. Semasa Dinasti Ming dan Dinasti Qing, kuih bakul telah dijadikan sebagai makan untuk rakyat.
“Ramai orang gemar menikmati kuih bakul setiap kali menyambut Tahun Baru Cina. Sudah menjadi tradisi kepada masyarakat Cina membeli kuih bakul dan dihidangkan kepada tetamu kerana percaya ia akan melancarkan segala usaha yang akan bertitik tolak pada hari tersebut.
“Keunikan kuih bakul kami ialah terdiri daripada lapisan adalah ubi keledek, ubi keladi dan dodol, dicicah dengan tepung sebelum digoreng sehingga garing dan rangup sama seperti pisang goreng.
“Kuih bakul 3 lapis tidaklah semudah yang disangka kerana memerlukan waktu yang sangat lama untuk menyediakaan bahan-bahan hingga ke proses goreng. Ini kerana lapisan kedua kuih bakul iaitu dodol perlu dibuat sendiri. Lagipun selepas musim perayaan tiada orang yang menjualnya di pasaran,” jelas pasangan ini.
Gerai pasangan ini dibuka setiap hari kecuali hari Isnin di gerai ‘Imbi Kuih Bakul’.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram