![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2019%2F03%2Fpasar-terapung-bernama-270319-2.jpg&w=3840&q=75)
Sebut sahaja pasar terapung, orang mungkin terbayangkan aktiviti itu di Bangkok atau beberapa tempat lain di Thailand, namun mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa Malaysia juga mempunyai pasar terapungnya sendiri iaitu di Kampung Pantai Suri, Kelantan.
Konsep jualan adalah seakan-akan pasar terapung di Thailand di mana pasar terapung Kampung Pantai Suri ini menghimpunkan pelbagai jualan, khususnya yang hanya terdapat di kawasan perkampungan sekitar termasuk jeli kelapa, gula melaka, madu,nasi berlauk, aneka kuih tradisional dan kerabu nipah.
Sungguhpun jumlah bot yang beroperasi di pasar terapung ini cuma 10 buah sejak ia diwujudkan pada 2016 namun peniaga yang terlibat berusaha gigih melestarikan budaya masyarakat Melayu yang terkenal sebagai kaum pedagang termasuk berniaga di atas perahu seperti yang amalkan ketika zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka dahulu.
Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin berkata Pasar Terapung Pantai Suri yang beroperasi setiap hari Sabtu kini menjadi antara tarikan pelancong ke daerah Tumpat.
![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2019%2F03%2Fpasar-terapung-bernama-270319-1.jpg&w=3840&q=75)
Beliau berkata pihaknya akan menaik taraf prasarana di Pantai Suri untuk kemudahan kepada penduduk setempat serta pengunjung luar yang ingin menikmati pelbagai juadah lazat serta merasai pengalaman membeli pelbagai barangan dari atas perahu.
Bagi peniaga pasar terapung ini memberi ruang kepada mereka menggunakan sepenuhnya hasil tangkapan untuk dijadikan juadah jualan.
Selain orang ramai boleh menikmati makanan laut segar dan murah, peniaga juga dapat meningkatkan pendapatan keluarga kerana hasil tangkapan dijual sendiri.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram