
Dalam kedua-dua kes ini kerajaan dilihat terburu-buru untuk bertindak, dan akibatnya mereka telah dikritik oleh banyak pihak.
Dalam kedua-dua kes, lantaran tekanan yang berat dikenakan ke atas kerajaan daripada pelbagai pihak, mereka terpaksa membatalkan hasrat dan berpatah balik.
Tindakan demikian tidak baik bagi mana-mana kerajaan. Kerajaan yang selalu menukar fikiran akan dilihat sebagai lemah, tidak berkeputusan, serta tidak mampu melaksanakan visi mereka sendiri.
Baru-baru ini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan rakyat mengeluh apablia kerajaan lambat bertindak, namun mereka tetap mengeluh sekiranya kerajaan bertindak terlalu pantas.
Yang pastinya, sesuatu perkara yang betul mesti dilakukan pada waktu yang betul.
Sebahagian perkara mesti dilakukan secepat mungkin, sementara sebahagian yang lain harus dibuat hanya selepas konsultasi dilakukan dengan semua pihak yang terlibat.
Kemampuan untuk membezakan antara kedua-dua perkara ini satu kemahiran yang mesti ada pada kerajaan.
Kedua-dua Statut Rom dan ICERD merupakan perjanjian antarabangsa yang berkaitan dengan hak asasi.
Sememangnya wajar untuk Malaysia menjunjung aspirasinya menjadi sebahagian daripada sistem antarabangsa yang memelihara hak-hak asasi manusia.
Namun, jalan kita untuk mencapai matlamat ini mestilah wajar dan sesuai.
Kesegeraan kita dalam usaha merealisasikan matlamat ini mestilah berkadar terus dengan kelebihan yang boleh dikecapi oleh rakyat.
Jika penyertaan dalam perjanjian antarabangsa boleh membawa kelebihan yang sangat besar kepada kehidupan seharian rakyat marhaen, maka memang wajarlah kita usahakan penyertaan tersebut dengan secepat mungkin.
Jika tidak, kita harus melaksanakan usaha tersebut pada tahap yang berpatutan dengan kelebihan yang diperolehi.
Melakukan sesuatu dengan kadar yang sewajarnya akan membolehkan kerajaan berkonsultasi dengan semua pihak serta rakyat umum sebelum membuat keputusan.
Dalam kes Statut Rom, nampaknya wujud konflik yang semakin ketara antara kerajaan persekutuan dengan kerabat diraja tertentu.
Daripada berbalah dengan kerabat diraja, mungkin lebih baik sekiranya kerajaan mengambil masa untuk melalui proses konsultasi dengan cara yang baik.
Dalam sistem raja berpelembagaan, raja-raja memang ada hak untuk dikonsultasi pada setiap masa.
Kita mesti ingat kewujudan kerabat diraja masih disokong kuat oleh rakyat. Adalah tidak baik untuk kerajaan menyerang mereka secara terbuka, kerana ini hanya akan memecahbelahkan rakyat.
Kita harus belajar daripada pengalaman ICERD dan juga percubaan untuk meminda perlembagaan berkenaan status Sabah dan Sarawak.
Nampaknya semakin ramai pihak ingin menunjukkan bahawa mereka tidak selesa dengan pendekatan kerajaan yang terburu-buru.
Amir Jalal adalah pegawai penyelidik di badan pemikir penyelidikan dasar, EMIR Research.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram