
Ahli Majlis Tertinggi Parti Progresif Sabah (SAPP) John Stephen Dionysius berkata penduduk dan pemilik perniagaan di Inanam, kurang 10km dari sini, menderita selepas terputus bekalan air selama seminggu.
“Kerajaan mesti memohon maaf kepada rakyat atas kesulitan tersebut. Mungkin mereka fikir ia sudah cukup untuk memuaskan rakyat dengan hanya menerangkan sebab masalah itu.
“Tetapi bolehkah menteri dan birokrat merasakan kesusahan rakyat?” katanya kepada media.
Dionysius yang juga penduduk Inanam berkata sebelum ini, jabatan air menyalahkan cuaca kering atas kekurangan bekalan air di negeri ini.
Bagaimanapun, Dionysius berkata alasan demikian tidak lagi boleh digunakan kerana cuaca sekarang hujan hampir setiap hari.
“Keadaan bekalan air tidak pernah sebegitu buruk selama ini. Kerajaan mesti menjelaskan mengapa terdapat kelewatan dalam pembaikan paip air.
“Adakah kelewatan itu disebabkan oleh kehilangan kelayakan lebih 2,000 tukang paip baru-baru ini? Adakah kerana tidak ada tukang paip yang cukup? Adakah kerana sekarang hanya beberapa kontraktor yang dibenarkan bekerja untuk jabatan air?” katanya.
Pada Februari lalu, Jabatan Air Sabah mengesahkan hanya 104 tukang paip yang layak memperbaharui lesen mereka daripada 2,123 tukang paip berdaftar di negeri ini.
Jabatan Air Sabah memutuskan hanya memberi lesen kepada tukang paip yang lulus ujian bertulis yang diperkenalkan oleh jabatan itu awal tahun ini.
Daripada 724 tukang paip yang memohon untuk dilesenkan, hanya 174 pemohon berkelayakan menduduki peperiksaan dan hanya 104 yang lulus ujian bertulis itu.
Dionysius berkata walaupun tidak dapat dinafikan, jumlah tukang paip yang jauh berkurang adalah antara sebab penyumbang kepada perkhidmatan yang lebih perlahan oleh jabatan air, dia tertanya-tanya sama ada khabar angin bahawa pengarah jabatan itu aktif terlibat dalam politik juga turut menyumbang kepada masalah itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram