
Penjual buku, Muhammad Nazreen Jaafar dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, profesor Teo Kok Seong memberitahu FMT kebanyakan naratif itu berkaitan kedudukan bahasa Melayu dan isu pendidikan.
Nazreen yang merupakan bekas penyelidik di sebuah badan pemikir tempatan, berkata kebimbangannya berpunca daripada apa yang dibacanya dalam satu dokumen dalaman dikeluarkan parti Perikatan, pendahulu kepada Barisan Nasional.
“Saya mendapat dokumen yang diterbitkan pada 1968 daripada penjual lain. Dokumen ini merupakan analisis dalaman yang dikeluarkan ibu pejabat parti Perikatan menjelang pilihan raya 1969,” kata Nazreen yang mengendalikan kedai buku atas talian, Bukuku Press.
Katanya, beliau sudah mengesahkan kesahihan dokumen itu dengan bekas pemimpin Perikatan yang mengandungi analisis menyentuh suasana politik ketika itu, parti pembangkang dan strategi yang dicadangkan untuk Perikatan.
Beliau berkata, dokumen itu turut membincangkan ketegangan kaum semakin meningkat, yang sebahagian besarnya dikaitkan dengan polarisasi kaum di kawasan bandar, khasnya antara orang Cina dan Melayu.
Ini katanya, termasuk kebimbangan untuk memberi hak ekonomi, sosial dan politik secara sama rata kepada orang bukan Melayu, seperti idea “Malaysian Malaysia”, yang Perikatan dakwa didesak DAP dan parti pembangkang lain, termasuk Parti Demokratik Bersatu (UDP) dan Parti Buruh.
Menurut analisis itu, parti pembangkang ketika itu mahu mengiktiraf bahasa ibunda lain setaraf dengan bahasa Melayu di peringkat kebangsaan.

“Dari segi pendidikan, UDP merasakan Perikatan telah membunuh perkembangan pendidikan Tamil dan Cina di negara ini.”
Nazreen berkata, dokumen itu menunjukkan bagaimana Perikatan merancang menggunakan naratif perkauman untuk menyalahkan parti pembangkang hanya mahu menjuarai kepentingan bukan Melayu, dan dalam kes PAS, sebagai parti Melayu bersayap kanan.
“13 Mei ialah kemuncak rasa tidak puas hati orang Cina dan Melayu, dan sekarang saya nampak gejala sama.”
Ini katanya, termasuk naratif dan kenyataan mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), bahasa Melayu, syarat bahasa Cina dalam sektor swasta serta sekolah vernakular.
“Isu bahasa dan pendidikan dikaitkan dengan kaum dan apabila ini dipolitikkan, ia menimbulkan kebencian di akar umbi dan generalisasi berdasarkan kaum, dari situ, ia hanya memerlukan satu pencetus.”
Katanya, walaupun dokumen itu menunjukkan Perikatan mahu menggunakan naratif perkauman untuk memenangi pilihan raya pada 1969, yang mungkin menjadi bibit kepada rusuhan 13 Mei, tetapi mereka tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya.
“Disebabkan kita hanya mempunyai dokumen ini, kita tidak tahu apa strategi pembangkang ketika itu dan sama ada mereka mahu memainkan kad perkauman.
“Apa yang jelas ialah bahaya tersembunyi kedua-dua pihak memainkan naratif perkauman dan agama, dan jika kita berhati-hati, 13 Mei boleh berlaku lagi.”
Teo yang merupakan felo utama di Institut Kajian Etnik UKM, pernah nampak naratif sama pada 1968 dan 1969.
Beliau membidas sesetengah parti politik yang mencabar Perlembagaan Persekutuan dan hak Melayu seperti isu kuota matrikulasi.
“Perkara 153 jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong adalah untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi di Sabah serta Sarawak dengan memberikan tempat dalam biasiswa, keistimewaan pendidikan dan latihan atau kemudahan latihan.
“Cara sesetengah orang bukan Melayu menangani isu ini membimbangkan. Saya nampak corak sama yang membawa kepada 13 Mei.”
Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 berlaku selepas pilihan raya umum ke-3 yang menyebabkan rusuhan kaum tercetus dengan lebih 200 orang maut.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram