HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Isma nafi ambil alih Berjasa, kekal sebagai NGO

-

Ia selepas desas-desus mengatakan Isma mengambil alih Berjasa susulan pengumuman pemimpin parti itu semalam yang akan bertanding pada PRU15.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Aminuddin Yahaya.

PETALING JAYA:
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Aminuddin Yahaya menolak dakwaan mengatakan badan bukan kerajaan (NGO) itu mengambil alih parti Berjasa.

“Tidak, bukan kami ambil alih parti Berjasa, 2 badan ini mempunyai entiti berbeza, 1 NGO 1 lagi politik. Kami tidak ada kena-mengena,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Isma mengambil alih Berjasa susulan pengumuman pemimpin parti serpihan PAS itu semalam yang akan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Aminuddin bagaimanapun tidak menafikan terdapat individu yang memimpin Berjasa merupakan bekas pemimpin dan aktivis Isma.

“Memanglah sebahagian daripada ahli pimpinan Berjasa adalah bekas pemimpin Isma dan aktivis biasa Isma dan mereka juga tidak aktif dalam Isma.

“Kami juga tidak ada apa-apa arahan menyekat sesiapa dalam Isma terlibat dengan politik sebab itu pilihan peribadi, kita hanya bawa agenda NGO, politik lain.

“Kita fokus kepada penyatuan umat dan mempertahan raja-raja, hak istimewa orang Melayu dan Islam, kita ada prinsip yang jelas,” katanya.

Berjasa mengumumkan akan bertanding pada PRU15 dengan memberi tumpuan di negeri pantai barat Semenanjung.

Antara negeri terbabit termasuklah Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.

Presiden Berjasa, Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, parti itu akan tampil dengan semangat mengulangi seruan kesepakatan orang Melayu dan slogan “calon Muslim berwibawa” yang dilancarkan pada PRU13 lalu.

Diminta mengulas kewujudan banyak parti Melayu yang dibimbangi berlakunya perpecahan umat susulan pengumuman terbaru Berjasa dan Putra, Aminuddin berkata pihaknya tidak melihat ia sebagai isu.

“Berjasa bukan parti baru, ia sudah ditubuh 40 tahun dan pernah perintah Kelantan, parti Melayu yang baru ialah Amanah, PPBM dan Putra.

“Bagi kita parti Melayu banyak tidak mengapa yang penting sekali kita bersatu dalam berprinsip, contohnya bersatu dalam mempertahankan Institusi Raja-raja sebagai penaung agama, Islam, hak orang Melayu dan sebagainya.

Aminuddin berkata, bagi mengelak berlakunya perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya akan datang, setiap parti politik perlu bijak mengagihkan kerusi bagi mengelak berlakunya pertembungan.

“Kena ada tolak ansur, kalau parti itu besar dia kena dapat kerusi lebih, kalau parti kecil kena dapat kurang sikit. Kalau semua nak kerusi sama tak boleh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.