Setiap kali raya pasti semua kaum lelaki antara yang sibuk melakukan persiapan termasuklah Baju Melayu, songkok, capal atau kasut bersesuaian dan tidak dilupa samping sebagai pelengkap kepada pakaian.

Tidak kiralah lelaki bujang atau bapa semestinya samping adalah kelengkapan wajib yang harus dipakai bersama Baju Melayu.
Secara lazimnya, Baju Melayu memang selalunya dikenakan dengan kain dagang atau dikenali ramai sebagai kain samping, menurut yang tertera di Kamus Dewan sebagai kain sarung yang dipakai selepas memakai seluar pada (pakaian Baju Melayu) dan biasanya terletak daripada paras pinggang hingga paras lutut sahaja.
Kain samping yang dikenakan dengan Baju Melayu juga selalunya untuk kelihatan lebih formal kepada pemakai dan amat sesuai untuk acara atau majlis seperti majlis rasmi, majlis keagamaan, majlis adat istiadat dan Hari Raya Aidilfitri serta Hari Raya Aidiladha malah turut dipakai pada hari pernikahan atau persandingan.
Lain Tempat Lain Samping

Kalau di negeri Johor, kain samping di pakai bersama Baju Melayu dengan leher teluk belanga butang satu yang dinamakan sebagai erti “Berdagang Dalam”.
Manakala kalau di sebelah pantai Barat pula, kain samping di pakai di luar Baju Melayu dengan style berleher cekak musang yang membawa maksud sebagai “Berdagang Luar”.
Kain Pelbagai

Seterusnya dikenali sebagai “kain sampingan” yang digunakan untuk pelbagai cara seperti kain mandi, kain selimut, kain kendong serta kain basahan.
Seiring dengan peredaran masa, “kain sampingan” dikenali pula sebagai “kain samping” yang mengunakan kain yang lebih mewah dengan corak tenun yang cantik dan antara pelengkap yang paling penting buat Baju Melayu.
3 Ikatan Asas
Kalau tanya anak muda zaman sekarang, mesti semua tahu 1 cara sahaja untuk ikat kain samping, itu pun cara yang paling simple kita semua tahu kan?
Tapi sebenarnya ada 3 ikatan asas untuk kain samping; Ikat Kembung, Ikat Tangkup, dan Ikat Pancung.
Ada juga ikatan kain samping lain yang menjadi warisan turun temurun seperti Ayam Teleng, Fajar Menyinsing, Laksamana Melamar, Dendang Perantau serta Simpulan Bunga.
Status Hubungan Mengikut Kain Samping

Yang asas selalu kita dengar adalah kalau kain samping atas lutut maksudnya si pemakai berstatus bujang dan jika kain samping di paras bawah lutut maksudnya si pemakai sudah berkahwin.
Selain itu, bunga kanan untuk lelaki, bunga kiri untuk perempuan, bunga tengah melambangkan seorang itu duda.
Nilai serta perinci sebegini membuatkan Baju Melayu bukan hanya sekadar pakaian pada Hari Raya atau majlis formal sahaja tetapi ada seni yang tersirat sebagai tanda “berpakaian isyarat”.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram