
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihak Imigresen masih menunggu laporan penuh bedah siasat Thomas untuk mengetahui punca kematiannya dan laporan penuh kesihatannya.
Thomas adalah antara 20 warga asing yang ditahan dalam satu Ops Bersepadu pada 4 Julai lepas di kawasan Desa Aman Puri, Kuala Lumpur berikutan aduan awam berkaitan kebanjiran warga Afrika di kawasan itu.
Menurut Khairul Dzaimee, Thomas bertindak melarikan diri ketika operasi dijalankan namun berjaya ditahan, dan mangsa kemudiannya mengemukakan pasport di mana hasil semakan mendapati mangsa memiliki pas pelajar yang sah.
“Tindakan mangsa melarikan diri menimbulkan keraguan akan ketulenan pas pelajar yang dimiliki oleh mangsa,” katanya.
Thomas disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) dan ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) selama 14 hari untuk siasatan lanjut, katanya.
Menurut Khairul Dzaimee, semasa proses dokumentasi dijalankan di pejabat Imigresen Kuala Lumpur, mangsa diberi rawatan asas oleh pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia kerana terdapat luka lama di bahagian betis kanannya.
Thomas juga tidak memaklumkan menghadapi sebarang jenis penyakit, katanya.
Beliau berkata mangsa dan semua Orang Kena Tahan (OKT) dalam operasi itu dihantar ke depot Bukit Jalil pada kira-kira 12 tengah hari 5 Julai dan mereka dilayan dengan berhemah dan mengikut Standard Operating Prosedur (SOP) sepanjang ditahan.
Menurut Khairul Dzaimee, kira-kira 12.05 tengah malam 9 Julai, pegawai bertugas dimaklumkan oleh tahanan lain bahawa mangsa tiba-tiba mengalami sawan ketika tidur.
“Tindakan pemeriksaan dan rawatan serta merta diambil oleh Unit Rawatan Khas yang bertugas dan menghubungi pihak Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bantuan segera,” katanya.
Menurutnya, Penolong Pegawai Perubatan yang tiba dengan ambulans HUKM pada 12.30 tengah malam terus melakukan pemeriksaan serta bantuan namun mangsa disahkan meninggal dunia.
Susulan itu, pegawai penyelia dan pegawai bertugas membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil.
Sementara itu, Limkokwing University of Creative Technology dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia diberitahu mengenai kematian Ewansiha, yang melanjutkan pelajaran dalam PhD Pengurusan di universiti itu, semalam.
Menurut universiti itu, Thomas, 33, meninggalkan seorang isteri dan 2 anak masih kecil.
Menurut kenyataan itu lagi, satu permintaan dibuat oleh seorang dari Kedutaan Nigeria pada pukul 11.33 pagi semalam, untuk berkongsi rekod pelajar bagi mengesahkan dia (Thomas) yang kehilangan isterinya ketika ditahan, bagi mengesahkan status visa.
“Kami memberi maklumbalas segera dengan memberi semua fail yang ada kepada pihak kedutaan,” menurut universiti itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram