HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Rayer tarik diri wakili tertuduh kes jual MyKad

-

RSN Rayer berkata, beliau tidak mahu perkara itu digunakan untuk memfitnah nama baik Pakatan Harapan dan DAP.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
RSN Rayer menarik diri daripada mewakili Lai Chin Wah dalam kes penjualan MyKad.

GEORGE TOWN:
Peguam, RSN Rayer menarik diri daripada mewakili seorang tertuduh dalam kes kegiatan haram membabitkan kes penjualan MyKad di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Jelutong itu memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, walaupun tidak menghadapi sebarang isu mewakili seorang daripada enam tertuduh dalam kes itu, beliau tidak akan membiarkan perkara itu digunakan untuk memfitnah nama baik Pakatan Harapan dan DAP.

Parti komponen Barisan Nasional, iaitu Umno dan MIC membidas tindakan Rayer mewakili tertuduh itu dalam kes penjualan kad pengenalan kerana ia memberi persepsi salah. Ada di kalangan pengguna media sosial yang dilihat mendakwa Rayer berpakat dengan sindiket itu.

“Saya masih berpendirian tidak ada sebarang konflik kepentingan jika saya terus menjadi peguam bela tertuduh dalam kes ini kerana di negara ini, kita mengamalkan sistem pengasingan kuasa.

“Walaupun saya merupakan seorang ahli Parlimen kerajaan, tiada undang-undang menghalang saya menjadi peguam bela di mahkamah untuk membela Lai Chin Wah, yang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di sisi undang-undang.

“Saya ingin menegaskan di sini, walaupun saya tidak takut dan gementar dengan apa-apa ugutan yang dibuat terhadap saya secara peribadi, namun saya tidak mahu penglibatan saya dalam kes ini digunakan pihak tidak bertanggungjawab.

“Setelah memikirkan perkara ini secara mendalam, saya telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada mewakili tertuduh dalam kes ini bermula hari ini,” katanya di depan Hakim Norsalha Hamzah hari ini.

Pada 12 Sept lalu, Lai antara lima individu, termasuk seorang penolong pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, ditahan kerana disyaki sebahagian daripada sebuah sindiket penjualan sijil kelahiran dan kad pengenalan kepada warga asing yang kebanyakannya dari China.

Presiden Majlis Peguam, Abdul Fareed Abdul Gafoor sebelum ini mempertahankan Rayer dengan berkata, ia adalah jaminan berperlembagaan yang setiap tertuduh berhak dibela peguam pilihan mereka.

Ramkarpal Singh yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor, turut mempertahankan Rayer dengan berkata sebarang kritikan terhadap Rayer mewakili tertuduh boleh ditafsirkan sebagai “menakutkan peguam dalam menjalankan tugasnya”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.