HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Mahkamah Koroner putus Adib maut diserang pihak ketiga

-

Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas mengambil kita semua pandangan saksi.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Muhammad Adib Mohd Kassim.

SHAH ALAM:
Mahkamah Koroner hari ini memutuskan Muhammad Adib Mohd Kassim menemui ajal akibat perbuatan pihak ketiga yang menyerang dan memukul beliau dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada 27 Nov lalu.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar inkues kematian Adib memutuskan perkara itu setelah berpuas hati dengan keterangan saksi sepanjang prosiding.

Keputusan itu mengambil kira teori perunding kanan patologi forensik di United Kingdom Dr Shahrom Abd Wahid yang memberitahu inkues bahawa Adib berkemungkinan besar ditarik keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika insiden rusuhan dan mangsa juga mungkin dihentak ke pintu van berkenaan dengan kuat.

Penghakiman itu akan membuka jalan kepada proses pendakwaan terhadap pihak terbabit kerana membunuh.

Inkues bagi menentukan punca kematian Adib bermula 11 Feb lalu susulan pelbagai dakwaan bercanggah mengenai punca kematian anggota bomba itu.

Rofiah mengakhiri prosiding inkues selama 41 hari pada 24 Julai lalu, selepas mendengar keterangan 30 saksi, termasuk pakar yang cukup untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

“Saya merumuskan kecederaan ‘lung chest trauma’ yang dialami Muhammad Adib bukan perbuatan sendiri. Ia dilakukan orang lain yang telah menarik, menghentak dan mengheret arwah.

“Perbuatan itu disifatkan sebagai jenayah yang dilakukan dua atau lebih individu terhadap Muhammad Adib yang menyebabkan kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menolak teori saksi ke-24 iaitu pakar patologi forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, yang menyatakan Adib keluar sendiri dari van EMRS sebelum dilanggar.

Katanya, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki berbangsa India.

“Punca kematian Muhammad Adib bukan berpunca daripada dirinya sendiri atau disebabkan kemalangan,” kata Rofiah.

Koroner turut menerima keterangan saksi awam S Suresh yang berada di tempat kejadian di mana beliau melihat anggota bomba dipukul pada malam kejadian.

“Saksi juga memaklumkan beliau mendengar sekumpulan lelaki mengatakan jangan pukul bomba, bomba pun nak pukul ke, dalam bahasa Tamil. Saya membuat dapatan kejadian memukul telah berlaku,” katanya.

Rofiah turut memaklumkan keputusannya dikuatkan lagi bahawa Adib adalah mangsa jenayah yang diakuinya sendiri.

Beliau merujuk keterangan saksi ke-16, Ashraf Baruji, pembantu pegawai pembedahan yang menjaga Adib di Institut Jantung Negara (IJN) memberitahu arwah pernah memaklumkan beliau dipukul.

“Ashraf membina persahabatan sepanjang menjaga Adib, saksi sentiasa memberi semangat kepada arwah memandangkan tugasnya menjaga arwah dan menyiapkan arwah tidur setiap malam.

“Tidak hairahlah wujud kepercayaan sehingga membawa kepada Adib bercerita dia ditarik dan dipukul kepada saksi ke-16,” katanya.

Rofiah turut merumuskan kegagalan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal rusuhan yang menyumbang kepada kematian Adib.

Katanya, jika polis mengambil tindakan segera dengan mengawal perusuh, kebakaran kenderaan tidak akan berlaku dan anggota bomba tidak perlu ke sana untuk memadam kebakaran dan Adib juga tidak akan cedera.

“Polis gagal mengawal perusuh yang menyerang FRT (Fire Rescue Tender) dan EMRS sebaik sahaja sampai ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.

“Amat malang apabila dua trup FRU dan ratusan anggota dengan tujuh kenderaan pelbagai jenis, ‘water cannon, gas tank’ dan sebagainya hanya melihat perusuh melakukan khianat pada bomba, tapi tidak melakukan apa-apa.

“Hanya siap siaga dengan senjata mereka semata-mata kerana tidak diberi arahan (bertindak) walaupun keadaan meruncing.

“OCPD (ketua polis daerah) Subang Jaya tidak dapat dihubungi saksi, iaitu ketua salah satu trup FRU.”

Beliau menyerahkan kepada ketua polis negara dan peguam negara untuk melakukan siasatan lanjut dan pendakwaan.

Peguam Syazlin Mansor yang mewakili keluarga Adib menangis sejurus prosiding selesai.

Syazlin kemudian dilihat ditenangkan oleh suaminya dan beberapa peguam lain selepas prosiding tamat.

Prosiding yang bermula kira-kira 9.30 pagi tadi, selesai 10.15 pagi.

Sebanyak 137 bukti dikemukakan kepada mahkamah sepanjang inkues.

Adib, 24, anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah ketika rusuhan berlaku di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov 2018.

Beliau meninggal dunia pada 17 Dis selepas tiga minggu bertarung nyawa ketika dirawat di IJN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.