HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Pelancong China, India dikecualikan visa sejak 2016, kata KDN

-

KDN berkata, pelancong China dan India masih tertakluk kepada peraturan, prosedur dan kawalan imigresen sedia ada di pintu masuk negara.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, Jabatan Imigresen sentiasa menjalankan operasi membanteras pelancong tinggal melebihi tempoh, susulan pengecualian visa kepada pelancong China dan India sejak 2016.

KDN berkata demikian dalam kenyataan hari ini selepas beberapa pihak cuba mengaitkan pengecualian visa itu dengan isu pelancong China tinggal melebihi tempoh di Malaysia.

Katanya, pewartaan inisiatif pengecualian visa itu ialah prosedur biasa setiap tahun sejak ia diperkenalkan pada 2016.

Putrajaya melaksanakan pengecualian visa kepada pelancong China mulai 1 Mac hingga 31 Dis 2016, sebelum memperluaskan inisiatif itu kepada pelancong India mulai 1 April 2017.

Menurut warta pada Khamis lalu, walaupun dikecualikan visa, pelancong China dan India masih perlu melengkapkan pendaftaran maklumat melalui sistem “Electronic Travel Registration and Information (eNTRI)” untuk tujuan melancong atau lawatan sosial yang terhad kepada 15 hari, tanpa sebarang lanjutan.

“Objektif utama pelaksanaan inisiatif ini adalah untuk mengukuhkan industri pelancongan dengan memberi kemudahan tanpa visa kepada pelancong yang ingin melawat Malaysia.”

KDN berkata, kemasukan tanpa visa melalui eNTRI ialah penambahbaikan ke atas mekanisme Visa On Arrival (VOA) yang mana elemen keselamatan menjadi sebahagian proses eNTRI dan dikawal sepenuhnya Jabatan Imigresen.

“Kebenaran masuk pelancong masih tertakluk kepada peraturan, prosedur dan kawalan imigresen sedia ada di pintu masuk, di mana Notis Penolakan Masuk boleh dikeluarkan sekiranya pelancong tersenarai dalam senarai hitam atau senarai syak Jabatan Imigresen atau tergolong dalam kategori imigran larangan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap warganegara asing yang didapati melanggar undang-undang imigresen dengan cara menangkap, mendakwa di mahkamah dan mengusir mereka ke negara asal.

“KDN dan Jabatan Imigresen sentiasa memastikan keselamatan negara sebagai keutamaan dan tidak akan berkompromi dalam perkara yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara.”

Katanya, pelancong China dan India hanya boleh kembali ke Malaysia selepas 45 hari meninggalkan negara ini bagi mengelakkan penyalahgunaan kemudahan pengecualian visa.

Sasar ketibaan pelancong naik 7%

Sempena Tahun Melawat Malaysia dan inisiatif pengecualian visa, Tourism Malaysia menyasarkan kedatangan pelancong dari China dan India meningkat kira-kira 7%.

Ketua Pengarahnya, Musa Yusof berkata, pelancong dari 2 negara itu antara pasaran terbesar industri pelancongan Malaysia dengan kira-kira 3.26 juta pelancong China dan 683,000 pelancong India disasarkan melawat Malaysia tahun ini.

Katanya, 2.41 juta pelancong China dan 539,167 pelancong India melawat Malaysia setakat 9 bulan pertama tahun ini, ia meningkat 5.7% (China) dan 23.2% (India) berbanding tempoh sama tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.