
Ramon Navaratnam, yang juga bekas penasihat kehormat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pelantikan pemimpin Amanah yang juga setiausaha politik bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad boleh dilihat sebagai konflik kepentingan dan kronisme.
“Ia menimbulkan persoalan mengenai objektiviti, kesaksamaan dan intergriti. Jika semua pihak bersikap profesional sekali pun, ia tetap akan memberi kesan ke atas persepsi awam. Ia bukan jawatan dalam parti politik, ia patut diisi dengan profesional, bukan orang politik. Tidak ada sebab untuk lantik orang politik,” katanya.
DBKL terletak dalam bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan.

Polis baru-baru ini menahan Azli Yusuf, yang merupakan setiausaha politik kepada bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berhubung siasatan mengenai dakwaan rasuah dan penipuan.
Khalid berkata, Azli adalah mangsa seorang “broker” yang menggunakan namanya. Beliau mengaku melantik Azli sebagai anggota lembaga penasihat DBKL.
“Bila perkara seperti ini berlaku, biar apapun natijahnya, ia memberi kesan buruk ke atas individu yang melantik, parti mereka dan juga kerajaan,” kata Navaratnam.
Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional dan pengganti Khalid di Kementerian Wilayah Persekutuan harus berhati-hati, sekali gus mengelakkan amalan sedemikian.
Putrajaya perlu membuat peraturan dan langkah amalan terbaik bagi menyekat pelantikan ahli politik, selain menghindari konflik kepentingan dan kronisme, katanya.
“Selalunya fokus biasa ialah melantik ahli politik untuk mengetuai agensi atau syarikat berkaitan kerajaan. Ini salah dan mesti dihentikan.
“Kita juga tidak boleh abaikan lantikan politik ke jawatan lebih rendah. Hakikatnya kita telah lahirkan bilangan profesional yang mencukupi untuk mengisi jawatan dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram