HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Lanjut moratorium pinjaman juga baik untuk bank, kata persatuan SME

-

Tempoh moratorium yang diumumkan oleh kerajaan Mac lepas akan berakhir pada penghujung September.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Sebuah restoran baru yang hampir kosong di Kuala Lumpur susulan pelaksanaan SOP ketat oleh pihak berkuasa.

PETALING:
Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia berkata, bank akan mendapat manfaat sekiranya moratorium pembayaran balik pinjaman dilanjutkan.

Presiden persatuan Michael Kang berkata, lanjutan tempoh itu membolehkan sektor berkenaan mengekalkan pekerja, sekali gus memungkinkan mereka membayar balik pinjaman masing-masing.

“SME di seluruh negara menggaji kiran-kira 10,000 pekerja, yang kebanyakannya mempunyai pinjaman bank,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, SME memerlukan masa untuk pulih daripada kesan ekonomi pandemik Covid-19 dan tidak ada kepastian bilakah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan ditamatkan.

PKPB membenarkan hampir semua perniagaan memulakan semula operasi, tetapi Kang berkata, tahap perniagaan yang berjaya dijana hanyalah 30% daripada tahap yang biasa diperoleh oleh SME.

Free Malaysia Today
Pengunjung di sebuah gedung membeli belah di Kuala Lumpur. Persatuan SME berkata, perniagaan hanya memperoleh 30% daripada pendapatan yang biasa didapati sebelum ini.

“Perniagaan memerlukan 6 bulan untuk pulih sepenuhnya, terutama susulan pengamalan normal baru selepas Covid-19,” katanya merujuk kepada peraturan jarak sosial dan prosedur operasi standard (SOP) baru lain yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Keadaan yang dilalui oleh SME akan memberi kesan domino ke atas industri lain dan juga ekonomi.”

Tempoh moratorium yang diumumkan oleh kerajaan Mac lepas akan berakhir pada penghujung September.

Isnin lepas, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata, ia patut dilanjutkan sehingga akhir 2020.

Kiang berkata, hampir mustahil bagi banyak SME untuk mula membayar balik pinjaman mereka pada Oktober.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Kembara Sabah Winston Liaw memberitahu FMT bahawa industri itu memerlukan sehingga 18 bulan untuk pulih, walaupun sekiranya penyelidik berjaya membangunkan vaksin untuk Covid-19.

Katanya, ramai ejen pelancongan di Sabah mempunyai pinjaman sewa beli yang perlu dibayar.

Agensi pelancongan biasanya membeli sekurang-kurangnya 5 bas untuk membawa pelancong, sementara sebilangan yang lain melabur dalam hartanah.

“Pendapatan ejen pelancong hampir kosong sepanjang 5 bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, jika industri memberi tumpuan kepada pelancong domestik sekalipun, ejen pelancongan hanya akan memperoleh kira-kira 30% daripada pendapatan yang biasa didapati sebelum ini.

“Jika orang ramai tidak yakin kerana bimbang dijangkiti, maknanya pemain industri pelancongan tidak ada pendapatan. Orang ramai memerlukan masa bagi membina keyakinan untuk melancong semula.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.