HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Belajar hikmah daripada krisis Covid-19, kata Agong

-

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, rakyat perlu bersyukur dan bergembira kerana masih dikurniakan kesihatan untuk bersama keluarga dan insan disayangi pada 1 Syawal.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyampaikan perutusan khas Aidilfitri menerusi televisyen malam tadi. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihatkan umat Islam jangan gusar dan bersedih kerana tidak dapat meraikan Aidilfitri seperti kelaziman, sebaliknya mengambil peluang itu untuk mempelajari hikmah daripada krisis Covid-19.

Walaupun Ramadan dan Syawal kali ini terpaksa disambut dengan pelbagai peraturan serta larangan, Sultan Abdullah berkata, rakyat perlu bersyukur dan bergembira kerana masih dikurniakan kesihatan untuk bersama keluarga dan insan disayangi pada 1 Syawal.

“Alhamdulillah, beta dan Raja Permaisuri Agong merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana dengan limpah rahmatNya kita semua dapat menyambut Aidilfitri setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan,” katanya dalam perutusan khas Aidilfitri yang disiarkan di televisyen malam tadi.

Agong berkata, rakyat Malaysia sewajarnya bersyukur kerana hampir 2 bulan mempamerkan tahap disiplin dan berdaya tahan tinggi, di samping penuh sabar sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

“Sebenarnya banyak pengajaran dapat kita pelajari dalam menghadapi wabak ini. Kita pelajari sesuatu virus atau sakit boleh menyerang manusia tanpa mengira pangkat mahupun darjat.

“Kita juga insaf kesihatan dikurniakan Allah adalah suatu kurniaan tidak ternilai harganya.”

Menurut Agong, wabak itu turut mengajar setiap manusia untuk menjalin ikatan rapat antara satu sama lain tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

“Jika salah seorang daripada rakyat tidak menjaga kesihatan diri, maka kesannya akan menular kepada masyarakat setempat dan akhirnya ke seluruh negara.”

Sultan Abdullah tidak lupa mengajak semua rakyat bersama menghargai jasa, komitmen, keberanian dan pengorbanan petugas barisan depan yang mencurah khidmat bakti dengan penuh kegigihan untuk membendung penularan Covid-19.

“Beta juga amat menghargai pengorbanan mereka yang terpaksa bertugas pada lebaran ini, terutama petugas perkhidmatan kesihatan, anggota tentera, polis serta semua anggota agensi kerajaan yang bertugas menjaga kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negara.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, teruskan mengamal normal baru ataupun ‘the new normal’ dalam kehidupan seharian. Pandemik Covid-19 telah memaksa kita melakukan perubahan kepada kehidupan seharian kita.

“Justeru teruskan menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan sosial. Hindari dan jauhi aktiviti yang tidak penting. Gunakan masa yang ada untuk membina syurga di rumah bersama keluarga tercinta.”

Agong turut menzahirkan keyakinan Malaysia mampu menumpaskan Covid-19 dengan semangat dan kekuatan jati diri bangsa Malaysia serta perpaduan yang utuh.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah perlindungan Allah serta dijauhi sebarang musibah dan bencana.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong juga berdoa negara akan segera pulih seperti sediakala agar rakyat dapat mengecapi nikmat kerancakan ekonomi dan menikmati kemanisan hidup dalam sebuah negara yang maju, aman dan makmur.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.