HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Penasihat PM UK didakwa langgar sekatan pergerakan kali ke-2

-

Saksi mendakwa Dominic Cummings dilihat berada di Durham buat kali kedua pada 19 April lalu, selepas lawatan pertamanya pada 31 Mac.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Beberapa pihak mendesak Dominic Cummings dipecat kerana melanggar sekatan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 dengan melakukan perjalanan dari London ke Durham. (Gambar AP)

LONDON:
Seorang penasihat kanan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berdepan dakwaan baru melanggar sekatan pergerakan Covid-19 buat kali kedua pada Ahad.

Kerajaan pada Sabtu menolak desakan memecat Dominic Cummings atas dakwaan mengingkari sekatan koronavirus dengan melakukan perjalanan ke daerah lain ketika menunjukkan gejala virus itu.

Cummings, yang mengumumkan beliau mengalami simptom Covid-19 pada 30 Mac lalu, dilihat bersama anaknya yang masih kecil berdekatan rumah ibu bapanya di Durham, timur laut England, lebih 400km dari rumahnya di London pada 31 Mac lalu.

Akhbar The Observer dan Sunday Mirror memetik saksi sebagai berkata, beliau melanggar sekatan pergerakan sekali lagi apabila dilihat berada di Durham buat kali kedua pada 19 April lalu, beberapa hari selepas kembali bertugas di London susulan lawatan pertamanya.

Seorang lagi saksi memberitahu akhbar itu, Cummings turut dikesan berada di Barnard Castle, 30km dari Durham pada 12 April lalu.

Selepas mempertahankan Cummings daripada desakan peletakan jawatan, Downing Street pada lewat Sabtu berkata, ia “tidak akan membuang masa” memberi maklum balas terhadap dakwaan terbaru itu.

Di bawah peraturan sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan sejak 23 Mac lalu, sesiapa yang mempunyai gejala perlu mengasingkan diri di rumah mereka dan warga emas lebih 70 tahun –seperti ibu bapa Cummings – tidak dibenarkan menerima pelawat.

Menteri Kabinet mempertahankan tindakan Cummings, dengan Menteri Luar, Dominic Raab menerusi catatan di Twitter menyatakan “2 ibu bapa dengan koronavirus, bersungguh-sungguh menjaga anak kecil mereka.

“Mereka yang cuba mempolitikkannya perlu memikirkannya baik-baik.”

Downing Street mendedahkan Cummings menjalani kuarantin pada akhir Mac lalu kerana mengalami simptom Covid-19 manakala yang turut dijangkiti virus itu dirawat di unit rawatan rapi.

Awal bulan ini, pakar epidemiologi terkenal, Neil Ferguson meletak jawatan daripada sebuah panel kerajaan mengenai koronavirus selepas mengakui melanggar perintah sekatan dengan menemui perempuan simpanannya.

Britain ialah negara paling teruk terjejas di Eropah akibat Covid-19 dengan mencatatkan 36,675 kematian setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.