
“Mereka menghumban kami ke penjara jika kami cuba pergi ke masjid, dan tidak akan membebaskan kami kecuali kami memberi rasuah,” kata Husnay Mubarak yang berusia 26 tahun. “Kami takut untuk menyambut Ramadan. Di Malaysia kami tidak takut.”
Husnay berasal dari Sittwe, ibu negeri wilayah Rakhine yang menjadi pusat keganasan etnik terhadap Rohingya. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengecam tindakn kejam itu sebagai genosid.
Etnik Rohingya hidup di bawah penindasan di Myanmar selama beberapa dekad, dan ramai yang melarikan diri ke negara seperti Malaysia untuk mencari perlindungan.
Lebih 100,000 pencari suaka Rohingya berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di sini.

Ramai yang tiba sejak beberapa dekad lalu. Pada masa ini setiap tahun, mereka bebas merayakan Hari Raya dengan juadah istimewa seperti biskut, pencuci mulut dan biryani, semuanya untuk dikongsi dengan rakan yang berkunjung.
“Ia berbeza di Rakhine,” kata Rizaiton Mohd Shafie, yang sudah menetap di Malaysia lebih 30 tahun. “Kami diganggu polis jika mengunjungi keluarga atau rakan-rakan kami. Sangat sukar untuk melakukan perjalanan di Myanmar kerana selalu ada pemeriksaan polis.
“Pakcik saya dibawa pergi oleh polis 25 tahun lalu dan tidak ditemui lagi.”
Rukiah Rafique, yang berusia 21 tahun dari Rakhine sudah menetap di Malaysia selama 4 tahun, berkata tradisi Hari Raya rakyat Malaysia seperti balik kampung masih baru untuknya.
Dia berkata, adat yang sering diambil mudah wanita Islam di Malaysia – seperti memakai tudung – tidak disukai, bahkan dilarang di sesetengah tempat di Myanmar.
“Amalan menghias jalan dan rumah dengan lampu bewarna-warni untuk menyambut Hari Raya tidak wujud di Rakhine. Sambutan lebih meriah di sini,” kata Rukiah.

“Di Rakhine, banyak masjid ditutup dan terdapat sekatan perjalanan yang ketat. Itu perkara biasa. Jika kami pergi dari satu negeri ke negeri lain, polis cuba menangkap dan memenjarakan kami, jadi orang ramai hanya meraikannya secara senyap-senyap di rumah.”
Sekatan perjalanan dan masjid yang ditutup biasanya tidak menjadi kebimbangan etnik Rohingya di Malaysia, mereka perlu berdepan dengan masalah lain.
Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB, yang bermakna Putrajaya tidak mempunyai kewajipan untuk membantu mereka.
Pelarian yang berdaftar dengan UNHCR diklasifikasikan sebagai pendatang tanpa izin oleh kerajaan Malaysia.
Jabatan Imigresen baru-baru ini membuat serbuan terhadap warga asing tanpa izin kerana bimbang mereka menyebarkan Covid-19.

Ucapan kebencian terhadap etnik Rohingya di Malaysia mula tersebar di media sosial 2 bulan lalu selepas satu hantaran Facebook yang mendakwa aktivis etnik itu menuntut kewarganegaraan.
Namun realitinya etnik Rohingya lebih suka menyambut Aidilfitri di di tanah air berbanding tempat lain.
Suami Rukiah, Mohamudul Hasson Rashid, yang dibesarkan di kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh, sudah menetap di Malaysia sejak 5 tahun lalu. Dia gembira meraikan Hari Raya bersama isterinya.
Tetapi dengan seluruh keluarganya yang masih berada di kem pelarian, perayaan itu tidak lagi sama.
“Hari Raya adalah masa yang paling menggembirakan bagi umat Islam setiap tahun dan kita patut meluangkannya bersama keluarga, tetapi kita tidak dapat melakukannya di sini.”
Walaupun mereka mempunyai keluarga di sisi, kerinduan terhadap kampung halaman semakin marak ketika musim perayaan ini.
Kefayatullah Obaidur Rahman telah 3 tahun berada di Malaysia bersama isteri dan 2 anak lelaki remaja.
Kefayatullah berkata, dia gembira tinggal di negara yang majoriti Islam dan tidak dihalang polis untuk pergi ke masjid, tetapi dia mengakui sanggup menukar semuanya jika diberi peluang kembali ke Myanmar.
“Myanmar adalah negara kami. Budaya dan orang kami ada di sana,” katanya.
“Malaysia membantu kami dengan cara yang tidak dilakukan negara lain, dan saya menghargai semua bantuan yang telah kami terima. Tetapi ini bukan negara kami dan kami semua tinggal di sini buat sementara waktu.
“Sudah pasti, jika kami boleh pulang ke kampung halaman, kami akan melakukannya.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram