
Seperti rakan sejawatnya Donald Trump dari AS, Presiden Brazil Jair Bolsonaro mencari manfaat yang diharapkan daripada hydroxychloroquine dan ubat berkaitan, chloroquine, terhadap Covid-19.
Bagaimanapun, kajian mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan ubat berkenaan terhadap penyakit itu, termasuk satu yang diterbitkan pada Jumaat dalam jurnal perubatan The Lancet yang mendapati ubat berkenaan meningkatkan risiko kematian.
Ia menyebabkan WHO menggantung percubaan klinikal hydroxychloroquine di seluruh dunia sebagai rawatan Covid-19 pada Isnin.
“Kami tetap tenang dan tidak akan ada perubahan” terhadap garis panduan Brazil yang dikeluarkan minggu lalu,” kata pegawai Kementerian Kesihatan Mayra Pinheiro pada sidang media.
Garis panduan itu mengesyorkan doktor dalam sistem kesihatan awam mempreskripsikan sama ada chloroquine atau hydroxychloroquine ketika permulaan gejala Covid-19.
Ia dikeluarkan sejurus selepas peletakan jawatan bekas menteri kesihatan Nelson Teich, yang dilaporkan meletak jawatan atas desakan Bolsonaro untuk menggunakan ubat-ubatan terbabit walaupun kekurangan bukti yang kukuh.
Teich adalah menteri kesihatan ke-2 Brazil dalam masa kurang dari sebulan.
Brazil, adalah negara Amerika Latin paling terjejas teruk disebabkan pandemik itu, dengan statistik terbaru hampir 375,000 kes – yang ke-2 tertinggi di dunia, selepas AS – dan lebih 23,000 kematian.
Pakar berkata ujian yang rendah bermakna angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
Hydroxychloroquine biasa digunakan untuk merawat penyakit autoimun, sementara chloroquine umumnya digunakan untuk merawat malaria.
Kajian awal di China dan Perancis meningkatkan harapan ubat berkenaan mungkin berkesan terhadap Covid-19.
Ia menyebabkan banyak kerajaan membeli ubatan berkenaan secara pukal.
Bahkan, Trump berkata minggu lalu beliau mengambil hydroxychloroquine sebagai langkah pencegahan, walaupun pada Ahad beliau sudah menyelesaikan rawatannya.
Pinheiro mempersoalkan kajian Lancet, yang menganalisis laporan perubatan terhadap 96,000 pesakit di ratusan hospital.
“Itu bukan percubaan klinikal, ia hanya kumpulan data yang dikumpulkan dari negara yang berbeza, dan itu tidak memenuhi kriteria kajian yang dapat diterima secara metodologi untuk dijadikan rujukan bagi mana-mana negara di dunia, termasuk Brazil,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram