HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

LTAT timbang swastakan Boustead

-

Potensi penswastaan Boustead muncul ketika LTAT berusaha melaksanakan penyusunan semula berikutan cabaran prestasi yang wujud sebelum krisis koronavirus.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Lembaga Tabung Angkatan Tentera memegang kepentingan 59% dalam Boustead Holdings Bhd.

KUALA LUMPUR:
Dana pencen angkatan tentera menimbang pilihan untuk saham yang dikuasainya dalam Boustead Holdings Bhd, termasuk menswastakan konglomerat itu, kata sumber yang mengetahui mengenai perkara berkenaan.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang memegang kepentingan 59% dalam Boustead, mendapat kelulusan pinjaman bagi membiayai perjanjian itu, kata seorang daripada sumber terbabit.

Saham Boustead, sebuah kumpulan pelaburan yang merangkumi hartanah, perkhidmatan kewangan, perladangan dan pembuatan, melonjak 18.6% hari ini dan mencapai tahap tertinggi sejak 9 Mac.

Potensi penswastaan Boustead muncul ketika LTAT berusaha melaksanakan penyusunan semula di tengah-tengah cabaran prestasi yang wujud sebelum krisis koronavirus.

LTAT bekerjasama dengan penasihat mengenai penyusunan semula itu, kata sumber terbabit.

Perbincangan masih di peringkat awal dan LTAT masih boleh memutuskan untuk tidak meneruskan penjualan, kata sumber itu.

Wakil Boustead dan LTAT tidak memberi jawapan segera ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Tabung berkenaan ditubuhkan pada 1972 bagi menyediakan faedah persaraan dan faedah lain kepada anggota tentera.

Di bawah pelan persaraan, anggota diwajibkan mencarum 10% daripada gaji bulanan mereka, sementara kerajaan mencarum 15%, menurut laman webnya.

LTAT mempunyai kira-kira RM9.5 bilion aset di bawah pengurusan, menurut laporan Bernama dalam laporan kewangan 2019.

Antara pegangan terbesar tabung angkatan tentera itu adalah kepentingannya dalam Boustead dan 35% saham dalam Affin Bank Bhd, menurut data yang dikumpulkan Bloomberg.

2019 adalah tahun yang sukar bagi tabung berkenaan memandangkan kedua-dua syarikat tidak membayar dividen, kata syarikat itu kepada Bernama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.