Ketua Polis Daerah Arau, Nanda Maarof berkata, lelaki berusia 24 tahun itu dilihat berjalan kaki dari arah Changlun, Kedah, sebelum ditahan ketika tiba di sekatan jalan raya (SJR) Ulu Pauh dekat sini kira-kira 12.45 tengah hari semalam.
“Hasil pemeriksaan oleh anggota bertugas di SJR Ulu Pauh mendapati lelaki tersebut mempunyai dokumen perjalanan yang sah, namun tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri daripada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nanda berkata, lelaki tersebut memberi alasan beliau ingin ke Pulau Langkawi dengan menaiki feri di Kuala Perlis, namun mendakwa tidak mengetahui bahawa ketika ini negara sedang menjalani tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Katanya warga Jerman itu juga memberitahu bahawa belau tiba menerusi pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Mac lepas dan berjalan kaki ke Gerik, Perak dan terkandas di sana selama 2 bulan sebelum ke Perlis.
Beliau berkata, lelaki tersebut direman selama 4 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan 15 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
“Polis telah maklumkan kes ini kepada kedutaan Jerman di Malaysia dan lelaki terbabit akan dibawa ke pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) Perlis untuk menjalani ujian saringan Covid-19,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram