
Peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi dalam hujahan penutupnya bahawa pihak pembelaan sentiasa menyebut Najib merupakan seorang mangsa dan diberi gambaran salah oleh ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho, bekas ketua pegawai eksekutif Nik Faisal Ariff Kamil, anggota pengurusan SRC International dan “sekumpulan pegawai bank penyangak”.
“Andaikan pembelaan kami benar, ia adalah sesuatu yang amat sukar dan rumit kerana beliau dikelilingi oleh individu yang melakukan penipuan itu dan beliau merupakan mangsanya.
“Hal keadaan yang mengelilingi beliau (Najib) sebagai seorang perdana menteri ketika itu, menafikan peluang pembelaan yang boleh didapati oleh orang biasa,” katanya.
Beliau juga menyebut tentang selang masa antara tuduhan pertama penyalahgunaan kuasa bagi mendapatkan suapan sebanyak RM42 juta berkait jaminan pinjaman kerajaan dan pertuduhan ke-5 hingga ke-7 membabitkan pindahan dana SRC International ke akaun milik Najib.
“Pertuduhan pertama menyebut kesalahan itu berlaku antara Ogos 2011 dan Februari 2012.
“Jika kita bandingkan pertuduhan pengubahan wang, dana yang dikatakan datangnya daripada SRC International masuk ke dalam akaun beliau 3 tahun kemudian.”
Beliau berkata, dalam kes rasuah biasa, orang kena tuduh akan meminta suapan dalam tempoh masa yang pendek.
“Tidakkah orang yang paling berkuasa, iaitu yang korup dari sudut itu akan berkata, ‘Dengar, saya berikan anda RM4 bilion; baik anda berikan saya RM42 juta dahulu atau sehari atau 2 hari selepas ia selesai?’”.
Shafie juga menyifatkan naratif pihak pendakwaan sepanjang pertuduhan terbabit sebagai “pelik”.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail dan bekas pengarah Suboh Md Yasin memberi keterangan mereka tidak tahu ke manakah majoriti pinjaman RM4 bilion daripada KWAP dipindahkan.
“Malah mereka tidak tahu SRC International mempunyai akaun di Ambank. Wang itu dilarikan di depan mata mereka sendiri.”
Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.
Selain tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang, Najib juga berdepan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah berhubung pindahan wang sebanyak RM42 juta ke akaun miliknya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram