HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

11 ditahan dalam Ops Mabuk di Pulau Pinang

-

Turut ditahan ialah seorang jurujual wanita kerana memiliki dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam kotak rokok.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Polis Pulau Pinang meningkatkan Ops Mabuk dengan mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negeri itu walaupun pusat hiburan belum dibenarkan beroperasi. 

BUTTERWORTH:
Polis Pulau Pinang meningkatkan Ops Mabuk di seluruh negeri meskipun pusat hiburan masih belum dibenarkan beroperasi dengan mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi yang dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menjalankan operasi di 3 lokasi, bermula 10 malam hingga 2 pagi tadi, yang menyaksikan 5 lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, mereka yang berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya di Km10.8 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth selepas ujian yang dijalankan mendapati kadar alkohol dalam darah melebihi had yang dibenarkan.

“Dalam operasi tersebut kami turut menahan seorang jurujual wanita berumur 31 tahun kerana memiliki dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam kotak rokok,” katanya di sini, hari ini.

Di George Town, Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, 5 lelaki, termasuk seorang warga Vietnam serta seorang wanita, kesemuanya berusia 20 hingga 40 tahun, ditahan dalam Ops Mabuk di Lebuhraya Tun Dr Kim Chong Eu awal pagi tadi.

“Dalam operasi itu, polis turut mengeluarkan 145 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan 9 orang turut dikompaun RM1,000 seorang kerana mengingkari perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB),” katanya.

Sementara itu di Bukit Mertajam, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Shafee Abd Samad berkata, 22 buah motosikal mat rempit disita kerana melanggar pelbagai peraturan jalan raya, termasuk ubah suai yang keterlaluan, dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Guar Jering dari 7 hingga 10 malam tadi.

“Mereka yang terdiri daripada lelaki berusia 16 hingga 25 tahun itu berkumpul dan ada yang berlumba haram di kawasan tersebut. Dalam operasi berkenaan polis turut mengeluarkan 82 saman kerana pelbagai kesalahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.