HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Bekas pesakit Covid-19 terima bil rawatan AS$1.1 juta

-

Michael Flor dimasukkan ke sebuah hospital di Washington bandar barat pada 4 Mac lalu dan dirawat selama 62 hari.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Kakitangan penjagaan kesihatan memindahkan seorang pesakit Covid-19 dari sebuah pusat perubatan di New York bulan lalu. (Gambar AP)

WASHINGTON:
Seorang warga Amerika Syarikat berusia 70 tahun yang hampir mati akibat Covid-19 dikenakan bayaran AS$1.1 juta (RM4.27 juta) untuk rawatan di hospital, lapor Seattle Times pada Sabtu.

Michael Flor dimasukkan ke sebuah hospital di bandar barat laut itu pada 4 Mac lalu dan dirawat selama 62 hari – pada satu ketika beliau di ambang maut sehingga jururawat terpaksa memegang telefon untuk isteri dan anaknya mengucapkan selamat tinggal kepadanya.

Tetapi, beliau akhirnya sembuh dan dibenarkan pulang pada 5 Mei lalu, sebelum menerima bil rawatan setebal 181 halaman yang berjumlah AS$1,122,501.04 (RM4,793,636.42).

Ia termasuk AS$9,736 sehari untuk bilik rawatan rapi, hampir AS$409,000 untuk pemindahannya ke bilik steril selama 42 hari, AS$82,000 bagi penggunaan ventilator selama 29 hari dan hampir AS$100,000 untuk 2 hari ketika prognosisnya mengancam nyawa.

Flor dilindungi Medicare, program insurans kerajaan untuk warga emas, dan beliau tidak perlu mengeluarkan sesen pun.

Tetapi, beliau rasa “bersalah” kerana pembayar cukai yang perlu menanggung kebanyakan kos itu.

“Ia berjumlah sejuta dolar untuk menyelamatkan nyawa saya, sudah tentu saya kata wang itu dibelanjakan dengan baik…Tetapi, saya juga tahu hanya saya yang bercakap demikian.”

Satu rancangan gergasi yang dilaksanakan Kongres untuk memastikan ekonomi AS dapat mengharungi sekatan pergerakan koronavirus termasuk bajet AS$100 juta kepada hospital dan syarikat insurans swasta yang merawat pesakit Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.