HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kadar pengangguran negara meningkat ke 5% akibat wabak Covid-19

-

Dari segi bulan ke bulan, jumlah tenaga buruh merosot 0.8% atau 130,700 orang berbanding Mac 2020.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, penutupan operasi perniagaan semasa PKP sehingga April 2020 menyebabkan kehilangan pekerjaan dan pencari kerja sukar mendapat pekerjaan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Kadar pengangguran negara melonjak kepada 5.0% berikutan penganggur meningkat 48.8% berbanding tahun sebelumnya kepada 778,800 orang.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, penutupan operasi sebahagian besar perniagaan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga April 2020 menyebabkan kehilangan pekerjaan dan pencari kerja sukar mendapat pekerjaan.

Katanya, jumlah tenaga buruh pada April 2020 mencatatkan pertumbuhan marginal sebanyak 0.6% atau 99,100 orang kepada 15.71 juta orang, pertumbuhan terendah sejak September 2014, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dari segi bulan ke bulan, jumlah tenaga buruh merosot 0.8% atau 130,700 orang berbanding Mac 2020.

“Pada April 2020, penduduk yang bekerja merosot 156,400 orang (-1.0%) tahun ke tahun kepada 14.93 juta orang,” katanya pada taklimat media mengenai statistik tenaga buruh dan getah bulanan di sini, hari ini.

Beliau berkata, penduduk bekerja yang paling terjejas adalah dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, iaitu penginapan serta makanan dan minuman, kesenian, hiburan & rekreasi; dan perkhidmatan lain seperti pusat kecantikan dan salon.

“Dari segi bulan ke bulan, jumlah penduduk bekerja merosot 299,000 (-2.0%) berbanding Mac 2020 yang mencatatkan 15.23 juta orang,” katanya.

Menurut kaji selidik itu, terdapat 2.59 juta orang yang bekerja sendiri pada April 2020 yang sebahagian besarnya terdiri daripada peniaga/pengusaha kecil-kecilan (pasar tani, pasar malam, katering, gerai, freelancer), pekebun kecil, pengusaha pelancongan, termasuk pengusaha aktiviti umrah dan ziarah, dan lain-lain.

“Kumpulan pekerja ini terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan PKP. Daripada kaji selidik itu, PKP telah memberi impak kepada 4.87 juta penduduk bekerja yang tidak bekerja pada April 2020.

“Bagaimanapun, kumpulan ini tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka akan kembali semula bekerja,” katanya.

Oleh itu katanya, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada April 2020 merosot 0.5 mata peratusan kepada 68.1%, berikutan aliran keluar tenaga buruh untuk keluar dari tenaga buruh.

“Kali terakhir Malaysia mencatatkan KPTB sebanyak 68.1%adalah pada Disember 2017. KPTB lelaki dan wanita, masing-masing turun 0.4 mata peratusan dan 0.5 mata peratusan, mencatatkan 80.3% dan 55.1% berbanding Mac 2020,” katanya.

Secara keseluruhannya, Mohd Uzir berkata semua sektor ekonomi terjejas semasa Fasa 2 dan 3 PKP pada April 2020, terutamanya perkhidmatan tidak penting.

“Pasaran buruh Malaysia pada Mei 2020 dijangka akan terus terjejas berikutan PKP Bersyarat bermula 5 Mei, 2020 kerana perniagaan masih belum beroperasi sepenuhnya.

“Dalam tempoh ini, syarikat akan cenderung untuk mengurangkan saiz pekerja mereka untuk meringankan beban kos operasi walaupun telah dijangka pengurangan dalam pendapatan perniagaan mereka.

“PKP Pemulihan bermula pada 10 Jun, 2020 dan pengaktifan semula perniagaan untuk lebih banyak sektor dan perjalanan antara negeri dibenarkan.

“Pelaksanaan ini dijangka akan memacu perniagaan dan mendorong peningkatan pasaran kerja, terutamanya dalam industri berkaitan pelancongan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.