
Dalam program Malaysia Petang Ini yang disiarkan Isnin lalu untuk membincangkan laporan kontroversi itu, hos terbabit berkata, Al Jazeera sepatutnya dinamakan semula sebagai Al-Jahiliyah.
“Saya rasakan Al Jazeera, atau selepas isu ini, saya boleh katakan bahawa Al Jahiliyah ini tidak mempunyai asas ataupun mungkin etikanya kurang. Kalau kita google pun, mereka memang banyak kontroversi dan kritikan yang melanda dirinya,” kata Herleena Pahlavy, seorang daripada 2 hos pada akhir program itu.
Beliau kemudiannya mengakhiri program itu dengan berkata: “Saya Leena Pahlavy, Al Jazeera, ‘you shut up’.”
Bernama ialah agensi berita negara di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
FMT sedang menghubungi Menterinya, Saifuddin Abdullah untuk mendapatkan komennya.
Sepanjang program Bernama TV itu, 2 hos terbabit menyerang Al Jazeera yang menyiarkan episod “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” menerusi program 101 East pada Jumaat lalu.
Mereka turut mempersoalkan stesen itu yang menutup ruangan komen dalam YouTube program berkenaan kerana bimbang dengan kritikan netizen Malaysia.
Dalam program selama 25 minit itu, Al Jazeera menuduh Putrajaya menggunakan alasan kesihatan dan keselamatan awam untuk menahan pendatang asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Susulan itu, polis menyiasat saluran berita berpangkalan di Qatar itu di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob menuntut permohonan maaf daripada Al Jazeera kerana menyiarkan fakta tidak benar dan mengelirukan.
Jabatan Imigresen pula sedang mengesan lelaki Bangladesh yang ditemubual program itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram