HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Pendakwa fail rayuan terhadap pembebasan Isa Samad daripada tuduhan pecah amanah

-

Pada 16 Jun, Isa diarahkan membela diri terhadap 9 pertuduhan rasuah lebih RM3 juta sebagai suapan kerana meluluskan pembelian Hotel Merdeka Palace berharga RM160 juta pada 2014.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Isa Samad kini dilepaskan dengan ikat jamin RM800,000.

PUTRAJAYA:
Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap pembebasan bekas pengerusi Felda Isa Samad daripada tuduhan pecah amanah jenayah berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching 6 tahun lepas.

“Kami memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan dibuat walaupun Mahkamah Rayuan akan mendengar perkara itu selepas perbicaraan di Mahkamah Tinggi tamat,” kata timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz.

Pada 16 Jun, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghaali mengarahkan Isa membela diri terhadap 9 pertuduhan rasuah dengan menerima lebih RM3 juta sebagai suapan kerana meluluskan pembelian Hotel Merdeka Palace berharga RM160 juta pada 2014.

Nazlan berkata, pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi tuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun katanya, pendakwaan gagal membuktikan elemen pecah amanah terhadap Isa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Isa, yang merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan dan bekas naib presiden Umno didakwa melakukan pecah amanah amanah dengan meluluskan pembelian hotel tanpa kelulusan lembaga pengarah Felda pada 29 April 2014.

Kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara 2 hingga 20 tahun, rotan dan denda jika sabit kesalahan.

Isa dituduh menerima rasuah daripada pengarah Gagasan Abadi Properties Sdn Bhd Ikhwan Zaidel antara Julai 2014 dan Disember 2015.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di tingkat 49. Menara Felda, Platinum Park, No 11 Persiaran KLCC dekat sini.

Pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai rasuah bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Beliau kini diikat jamin sebanyak RM800,000.

Afzainizam berkata, Nazlan juga menetapkan 3 hari dari 17 Ogos bagi Isa memfailkan pembelaannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.