
Beliau yang juga presiden PPBM berkata, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan pandemik Covid-19 yang masih wujud, Sabah perlukan 1 kerajaan negeri yang kuat yang mempunyai ikatan dengan kerajaan persekutuan.
“Warisan tak menjadi sebahagian Perikatan Nasional (PN-kerajaan persekutuan)… ia tidak berada dalam mana-mana kerajaan kecuali kerajaan negeri.
“Kalau di sini, rakyat Sabah pilih PN bersama Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Gabungan Rakyat Sabah yang kita tubuhkan, maka terbentuk kerajaan peringkat negeri yang sama dengan kerajaan persekutuan. Jadi dengan berbuat demikian kita dapat membantu Sabah, kita boleh bekerjasama untuk kebaikan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra di DUN Luyang malam ini.
Turut hadir Naib Presiden PPBM Ronald Kiandee serta calon PN-SAPP untuk DUN Luyang Gee Tien Siong dan calon PN-MCA bagi DUN Likas Dr Chang Kee Ying.
Tiba di Sabah selepas mengumumkan Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (Kita Prihatin) bernilai RM10 bilion di Putrajaya bagi membantu rakyat yang berhadapan masalah ekonomi disebabkan pandemik Covid-19, Muhyiddin menegaskan ia bukan diumumkan disebabkan PRN Sabah.
“Ini bukan soal Sabah ada pilihan raya, bukan untuk Sabah sahaja, tetapi untuk seluruh negara supaya keadaan akan bertambah lebih baik, hidup mereka ini tidak akan jadi susah dalam keadaan yang memang susah nak cari makan, berniaga pun tak boleh untung, banyak masih rugi.
“Saya tahu, tidak perlu beritahu saya kerana sebagai perdana menteri saya tahu apa yang berlaku di negara kita. Yang penting apa yang kerajaan perlu lakukan untuk membantu rakyat kita dan saya rasa kerajaan PN telah berusaha sedaya upaya membantu rakyat dalam tempoh 7 bulan ini,” katanya.
Beliau menjelaskan bantuan hari ini diumumkan selepas beliau mendengar rintihan rakyat, walaupun kerajaan telah membelanjakan RM290 bilion sebelum ini bawah pakej rangsangan ekonomi.
“Saya harap dengan langkah begini, ekonomi negara dan Sabah akan bangkit dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi, pada tahun depan kita akan lihat 1 kadar pemulihan yang agak lebih cepat lagi,” katanya.
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram