
Serangan bom yang berlaku hanya setahun selepas kejadian 9/11 di AS, berlaku di dua bar yang dipenuhi pelancong asing. Sehingga kini ia dianggap serangan militan paling berdarah dalam sejarah Indonesia.
Zulkarnaen, seorang anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) ditahan pada Disember 2020 selepas hampir 18 tahun berjaya meloloskan diri. Dia dibicarakan berkaitan serangan bom di Bali selain beberapa lagi yang dilaksanakan unit khas di bawah pimpinannya.
Mahkamah Daerah Jakarta Timur mendapatinya bersalah melakukan keganasan dan memerintahkannya dipenjara 15 tahun.
Pendakwa berkata, Zulkarnaen membentuk pasukan khas JI itu, dan dia disifatkan sebagai ‘aset utama’ kumpulan itu kerana mempunyai pengalaman sebagai jurulatih di kem militan di Afghanistan serta Filipina.
Sepanjang perbicaraan itu, Zulkarnaen menafikan pembabitannya dalam serangan di Bali, namun mengakui ia dilaksanakan pasukannya.
Menurutnya, dia tidak dimaklumkan mengenai serangan itu terlebih dulu malah mendakwa tidak terlibat dengan perancangan itu.
Mahkamah bagaimanapun tidak menerima alasannya, malah hakim perbicaraan berkata: “Hakikat bahawa dia mengetuai pasukan dan bersetuju perancangan dilaksanakan di Bali boleh dianggap bersetuju dengan pelan itu.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram