HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia hidang nasi minyak kepada 500 pengunjung

-

Program itu memberi manfaat kepada ramai penduduk Namibia terutama yang beragama Islam.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia berkata acara berlangsung di Windhoek Islamic Centre, Pioneers Park, dijayakan dengan kerjasama Persatuan Perwakilan Wanita Malaysia di Namibia dan AJ Auto Parts. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR:
Program Soup Kitchen Malaysia diadakan di Namibia pada Jumaat, menyaksikan 500 pengunjung disajikan hidangan nasi minyak bersama daging kambing panggang dan dalca kambing.

Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia dalam kenyataan berkata, acara berlangsung di Windhoek Islamic Centre, Pioneers Park, dijayakan dengan kerjasama Persatuan Perwakilan Wanita Malaysia di Namibia dan AJ Auto Parts.

Datuk Bandar Windhoek City, Joseph Uapingene, merakamkan penghargaan kepada Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Mohamad Rameez Yahaya atas penganjuran program yang memberi manfaat kepada ramai penduduk Namibia, terutama kepada penduduk Islam di negara itu.

“Imam dan pengerusi Pusat Islam itu juga memuji Suruhanjaya Tinggi di Windhoek atas usahanya membantu golongan memerlukan di Namibia,” menurut kenyataan itu.

Datuk bandar turut mengedarkan bungkusan makanan kepada jemaah di Islamic Centre dan kepada tetamu lain.

Rameez berkata acara seperti ini, termasuk Pasar Malam Malaysia yang diadakan baru-baru ini, merupakan sebahagian daripada program untuk membantu masyarakat memerlukan di Namibia, termasuk beberapa kawasan luar bandar.

“Ini akan memperlihatkan kepada Namibia bahawa hubungan dua hala Malaysia tidak hanya berdasarkan ekonomi dan politik, bahkan turut melibatkan hubungan sosial dan rakyat,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, suruhanjaya tinggi juga akan menganjurkan Promosi Hari Filem Malaysia: Mat Kilau The Movie pada minggu kedua November.

Makanan dan minuman cita rasa Malaysia akan disajikan selepas tayangan filem yang terhad kepada 100 peserta pertama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.