HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Nyawa 36 bayi di Al-Shifa di hujung tanduk

-

Tiga daripada 39 bayi pramatang berkenaan meninggal dunia sejak hospital terbesar Gaza kehabisan bahan bakar.

5
Shares
Total Views: 8,493
Free Malaysia Today
Kakitangan Hospital Al-Shifa berkata tiada mekanisme untuk memindahkan bayi berkenaan walaupun Israel telah menyediakan inkubator untuk tujuan itu. (Gambar AP)

GAZA:
Nasib 36 bayi di Hospital Al-Shifa di Gaza semakin tidak keruan, menurut kakitangan perubatan di situ susulan tiada mekanisme jelas bagi memindahkan mereka walaupun Israel telah menyediakan inkubator untuk tujuan itu.

Tiga daripada 39 bayi pramatang berkenaan telah meninggal dunia sejak hospital terbesar Gaza itu kehabisan bahan bakar yang menghidupkan inkubator mereka, pada hujung minggu lalu.

Wilayah itu disekat Israel sepenuhnya sejak serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Okt lalu. Serangan darat Israel sejak itu membawa pertempuran ke jalan di sekitar hospital yang terletak di tengah-tengah Gaza City, di utara semenanjung berkenaan.

Tiga puluh enam bayi yang masing-masing tidak sampai 1.5kg, malah ada antaranya hanya 700g hingga 800g, kini terbaring bersebelahan atas katil biasa seterusnya mendedahkan mereka kepada jangkitan dan tanpa penyesuaian tahap kelembapan serta suhu, menurut kakitangan.

“Mujur masih ada 36, tiada yang meninggal dunia sepanjang malam lalu,” kata pakar bedah Dr Ahmed El Mokhatallali kepada Reuters menerusi telefon dari Al-Shifa.

“Namun risikonya sangat tinggi…kami masih berisiko kehilangan mereka.”

Terdahulu hari ini, tentera Israel berkata ia menyelaraskan pemindahan inkubator ke Semenanjung Gaza bagi membolehkan pemindahan bayi berkenaan. Gambar seorang askar mengeluarkan inkubator dari sebuah van turut dimuat naik ke media sosial.

Tentera Israel turut mengongsikan video menunjukkan Shani Sasson, jurucakap dari pejabat perhubungan kementerian pertahanan Israel yang berurusan dengan hal-ehwal awam Palestin. Dalam video itu Shani dilihat berdiri di depan inkubator dan menyatakan tawaran bantuan telah dibuat secara rasmi.

Pihak tentera bagaimanapun tidak menyatakan langkah yang akan diambil untuk membolehkan pemindahan itu dilakukan, dalam pada serangan udara dan pertempuran sengit di sekitar hospital itu.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza Ashraf Al-Qidra berkata, tiada bantahan terhadap pemindahan bayi berkenaan, namun tiada mekanisme untuk melakukannya.

Seperti Al-Shifa, kebanyakan hospital Gaza telah ditutup disebabkan ketiadaan bahan bakar serta bekalan, atau sudah dipenuhi pesakit serta mangsa yang cedera dalam pertempuran.

“Kami tidak membantah bayi berkenaan dipindahkan ke mana-mana hospital, di Mesir, di Tebing Barat, malah juga hospital penjajah (Israel).

“Apa yang penting adalah kesejahteraan dan nyawa bayi-bayi ini. Setakat ini tiada mekanisme jelas,” katanya.

Israel mendakwa hospital itu tidak dikepung dan pihak tentera menawarkan laluan keluar untuk mereka yang berada di dalamnya.

Bagaimanapun, kakitangan dan pegawai perubatan dalam hospital itu berkata mereka yang cuba meninggalkan premis itu diserang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.