HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kempen pemilihan presiden Indonesia bermula

-

Pengganti Joko Widodo dijangka berhadapan cabaran untuk memulihkan ekonomi selepas pandemik Covid-19, menangani rasuah, dan mengimbangi hubungan dengan China dan AS.

30
Shares
Total Views: 3,285
Free Malaysia Today
Anies Baswedan (kiri), Ganjar Pranowo, dan Prabowo Subianto akan berentap menjelang pemilihan presiden Indonesia pada 14 Feb.

JAKARTA:
Indonesia memulakan kempen presiden 2024 pada Selasa yang menyaksikan tiga calon bersaing, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Penyandang Joko Widodo tidak bertanding semula setelah tempoh perkhidmatan dua penggal berakhir.

Penggantinya dijangka berhadapan cabaran untuk memulihkan ekonomi selepas pandemik Covid-19, menangani rasuah, dan mengimbangi hubungan dengan China dan Amerika Syarikat.

Tiga calon untuk pemilihan presiden pada 14 Feb ini terdiri bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto; bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo; dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan.

Subianto, 72, bertanding jawatan presiden buat kali ketiga selepas tewas kepada Jokowi pada 2014 dan 2019.

Menurut tinjauan pendapat baharu oleh Indikator Politik Indonesia, Subianto berjaya meningkatkan kedudukan berbanding pesaing terdekat selepas memilih Gibran Rakabuming, anak lelaki sulung Jokowi sebagai pasangannya.

Tinjauan yang dijalankan dari 27 Okt hingga 1 Nov menunjukkan Subianto memperoleh 40.6% sokongan, diikuti Pranowo 27.8% dan Baswedan 23.7%.

Tempoh kempen akan berlangsung sehingga 10 Feb dan tarikh mengundi ditetapkan pada 14 Feb.

Jika tiada pasangan calon yang memenangi lebih 50% undi dengan sekurang-kurangnya 20% undi daripada lebih separuh wilayah, pusingan kedua akan diadakan pada 26 Jun antara dua calon teratas.

Presiden dan naib presiden yang dipilih akan mengangkat sumpah pada 20 Okt bersama ahli Dewan Perwakilan Rakyat. Indonesia mempunyai kira-kira 205 juta pengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.