HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Ketua bantuan PBB bimbang rancangan Israel pindah penduduk Gaza ke negara ke-3

-

Martin Griffiths mengulangi gesaan untuk Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan segera menamatkan perang di Gaza.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Lebih 23,000 warga Palestin dibunuh, manakala lebih 58,000 lagi cedera sejak serangan rejim Zionis pada 7 Okt lalu. (Gambar AP)

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Ketua bantuan PBB yang “sangat bimbang” dengan kenyataan menteri Israel berhubung “rancangan menggalakkan pemindahan beramai-ramai” rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza ke negara tiga, mengulangi gesaan melaksanakan gencatan senjata.

“Kecuali kita bertindak, ia akan menjadi tanda tidak dapat dipadam dalam sejarah kemanusiaan,” kata Martin Griffiths, setiausaha agung rendah hal ehwal kemanusiaan PBB memberitahu Majlis Keselamatan badan dunia itu.

“Saya mengulangi gesaan untuk majlis ini mengambil tindakan segera bagi menamatkan perang ini.”

Griffiths berkata, keadaan di Semenanjung Gaza semakin teruk kerana serangan rejim Zionis sejak 7 Okt lalu masih berterusan.

Memetik statistik Kementerian Kesihatan Gaza, katanya, lebih 23,000 rakyat Palestin dibunuh, manakala lebih 58,000 lagi cedera sejak Israel melancarkan serangan untuk memusnahkan Hamas.

“Serangan tanpa henti Israel menyebabkan 85% daripada 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza yang hilang tempat tinggal ‘terpaksa melarikan diri berulang kali’.

“Kami sangat bimbang dengan kenyataan menteri Israel baru-baru ini mengenai rancangan menggalakkan pemindahan beramai-ramai orang awam dari Gaza ke negara ketiga, yang kini dirujuk sebagai ‘penempatan semula secara sukarela,” kata Griffiths.

Kenyataan sedemikian, katanya, mencetuskan kebimbangan “berhubung kemungkinan pemindahan paksa atau pengusiran penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza” yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Kenyataan menteri Kabinet Israel itu turut mendorong Amerika Syarikat, sekutu rejim Zionis itu menyuarakan kebimbangan sama.

Duta AS, Linda Thomas-Greenfield dan rakan sejawatannya dari Britain, Barbara Woodward mengulangi kebimbangan itu dalam mesyuarat.

“Kenyataan ini, bersama kenyataan pegawai Israel yang menggesa penzaliman ke atas tahanan Palestin atau pemusnahan Gaza, adalah tidak bertanggungjawab, bersifat menghasut dan hanya menjadikannya lebih sukar untuk mencapai keamanan kekal,” kata Thomas-Greenfield.

Pegawai Israel, termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menafikan mereka bercadang memindahkan penduduk Palestin secara paksa dari Gaza.

Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB itu diadakan beberapa jam selepas hari kedua perbicaraan jenayah kemanusiaan Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Belanda, di mana rejim Zionis itu cuba mempertahankan serangan di Gaza atas alasan mempertahankan diri dan menyerang balas selepas diserang pejuang Hamas pada 7 Okt lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.