HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Iswaran dipenjara 12 bulan terima hadiah, halang keadilan

-

Bekas menteri pengangkutan Singapura itu mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan pindaan minggu lalu.

0
Shares
Total Views: 1
S Iswaran
Hakim Vincent Hoong berkata, bekas menteri pengangkutan, S Iswaran memegang jawatan eksekutif di peringkat tertinggi dan mempunyai pengaruh dalam hal berkepentingan awam. (Gambar AFP)

PETALING JAYA:
Bekas menteri pengangkutan Singapura, S Iswaran dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan atas sabitan menerima hadiah lebih SGD400,000 minggu lalu.

Sebelum ini, Iswaran mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan menerima hadiah dan satu pertuduhan menghalang proses keadilan.

The Straits Times melaporkan Hakim Vincent Hoong menjatuhkan hukuman setahun itu di Mahkamah Tinggi Singapura hari ini.

Pertuduhan menerima hadiah daripada seseorang yang berurusan dengan pegawai awam membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda, manakala menghalang proses keadilan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun serta denda.

Hoong memerintah Iswaran mula menjalani hukuman pada 4 petang 7 Okt ini atas permintaan bekas menteri itu.

Ikat jamin ditetapkan pada SGD800,000, menurut Channel NewsAsia.

Siasatan ke atas Iswaran, 62, tertumpu kepada dakwaan dia menerima hadiah mewah daripada ahli perniagaan, termasuk tiket perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Grand Prix Formula 1 Singapura, muzikal London dan menaiki jet peribadi.

Nilai hadiah itu melebihi SGD400,000, kata pihak pendakwaan.

Hoong dalam penghakimannya berkata, Iswaran memegang jawatan eksekutif di peringkat tertinggi dan mempunyai pengaruh dalam hal berkepentingan awam.

Beliau berkata, Iswaran sebagai pengerusi jawatankuasa pemandu F1 menyelia prosiding F1 dan merupakan ketua perunding kerajaan untuk Grand Prix F1 Singapura.

“Walaupun tiada bukti dia mempunyai pengaruh ke atas F1 atau kontrak, kesalahannya tidak boleh dianggap kecil memandangkan kedudukannya selaku menteri.”

Katanya, pertuduhan pindaan dan baki 30 pertuduhan yang diambil kira mendedahkan skala kesalahan serta cara ulangannya dalam tempoh ketara.

Beliau berkata, nilai faedah diperoleh Iswaran adalah pertimbangan lebih relevan dalam menjatuhkan hukuman kerana nilai lebih besar meningkatkan kemungkinan kemudaratan kepada institusi awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.