HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Dakwaan rasuah di AS, Adani Group turun nilai USD30 bilion

-

Pengerusi kumpulan itu, Gautam Adani dituduh di AS berhubung skim didakwa membayar rasuah lebih USD250 juta bagi kontrak tenaga solar.

0
Shares
Total Views: 1
Gautam Adani
Pengerusi Adani Group berstatus bilionair, Gautam Adani, 62, didakwa mengatur skim terperinci merasuah pegawai kerajaan India ketika berusaha mengumpul modal daripada pelabur AS dan antarabangsa. (Gambar Reuters)

NEW DELHI:
Saham syarikat Adani Group di India menjunam selepas pengerusi berstatus bilionair, Gautam Adani, dituduh di Amerika Syarikat (AS) berhubung skim yang didakwa membayar rasuah ratusan juta dolar.

Pihak pendakwaan di New York mendakwa lebih USD250 juta rasuah telah dijanjikan kepada pegawai kerajaan India antara 2020 dan 2024, untuk mendapatkan kontrak tenaga solar diunjurkan menjana keuntungan lebih USD2 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Selain Adani, 62, tujuh defendan lain, termasuk anak saudara Adani, Sagar Adani, dan bekas ketua eksekutif Adani Green Energy, Vneet Jaain, dinamakan dalam dakwaan itu, yang menyatakan bahawa syarikat itu mengumpul lebih USD3 bilion dalam bentuk pinjaman dan bon berdasarkan kenyataan palsu dan mengelirukan di AS.

“Seperti yang didakwa, defendan mengatur skim terperinci untuk merasuah pegawai kerajaan India untuk mendapatkan kontrak bernilai berbilion dolar dan Gautam S Adani, Sagar R Adani, dan Vneet S Jaain berbohong tentang skim rasuah ketika mereka berusaha untuk mengumpul modal daripada pelabur AS dan antarabangsa,” kata Breon Peace, pendakwa AS untuk daerah Timur New York.

Lima defendan lain – Cyril Cabanes, Saurabh Agarwal, Deepak Malhotra, dan Rupesh Agarwal, bersekongkol menghalang siasatan juri besar, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) ke atas skim rasuah itu.

Adani yang berpangkalan di Gujarat, antara hartawan terkaya di dunia, telah menyaksikan kekayaannya berkembang pesat sejak sedekad lalu.

Konglomerat Adani menjalankan pelbagai perniagaan infrastruktur dan komoditi, termasuk pelabuhan, lapangan terbang, penjanaan kuasa dan penghantaran, hartanah, tenaga hijau, media, minyak makan, dan simen.

Saham Adani menjunam mengakibatkan kehilangan nilai lebih USD30 bilion dalam nilai kumpulan itu, pada Khamis.

Syarikat utama kumpulan itu, Adani Enterprises Limited, jatuh lebih 18%, Adani Green Energy susut hampir 17%, dan Adani Port and Special Economic Zone turun hampir 12%.

Entiti tersenarai lain kumpulan yang berpangkalan di Ahmedabad, Adani Wilmar, Adani Energy Solutions, Adani Total Gas, dan Adani Power menyaksikan penurunan ketara.

Adani Green Energy juga membatalkan penjualan bon bernilai USD600 juta selepas pertuduhan mahkamah AS.

Kejatuhan saham Adani itu adalah yang terburuk sejak kejatuhan Januari 2023, berikutan laporan Hindenburg Research yang berpangkalan di AS mendakwa manipulasi pasaran dan penipuan perakaunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.