HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Pemandu hendap puteri Qatar kerana percaya mereka jalin hubungan

-

Peguam Sundeep Pankhania berkata anak guamnya menceraikan isterinya kerana benar-benar percaya dia menjalin hubungan dengan puteri Qatar itu.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Mahkamah Majistret Westminster diberitahu Haya Al-Thani sangat bimbang dengan tingkah laku Jihad Abousalah sehingga meminta suaminya, Mohamed Al-Thani mengupah pengawal peribadi. (Gambar Wikipedia)

LONDON:
Seorang pemandu dijatuhkan hukuman perintah komuniti oleh sebuah mahkamah Britain selepas menghendap seorang puteri Qatar kerana percaya menjalin hubungan dengannya, lapor PA Media/agensi berita Jerman (dpa).

Jihad Abousalah, 47, menghendap Haya Al-Thani antara 1 dan 23 Mac tahun ini. Prosiding kes itu didengar di Mahkamah Majistret Westminster pada Jumaat.

Dia hadir di mahkamah dengan jambang panjang.

Mahkamah diberitahu Abousalah bekerja sebagai pemandu Al-Thani, yang juga kerabat diraja Qatar.

Namun, dia mula percaya menjalin hubungan dengan puteri itu.

Pendakwa raya David Burns berkata Abousalah menghantar bunga kepada puteri itu.

“Dia menghantar nota mengucapkan selamat hari lahir dan hadiah, termasuk gelang dan bunga.”

Dia kemudian mula menghubungi Al-Thani.

“Pengadu tinggal di Doha dan mula menerima beberapa panggilan.”

Abousalah juga muncul di tempat tinggal Al-Thani dan cuba menyerahkan bunga kepada seorang kakitangan untuk diberikan kepada puteri itu.

“Pengadu berkata hakikat itu adalah alamatnya membuatkan beliau berasa takut.”

Mahkamah diberitahu Al-Thani sangat bimbang dengan tingkah laku Abousalah sehingga beliau meminta suaminya, Mohamed Al-Thani mengupah pengawal peribadi.

“Beliau berkata insiden itu menyebabkannya cemas dan tertekan. Beliau juga beritahu tidak boleh menjalani kehidupan harian seperti biasa.

“Beliau turut rasa perlu perlindungan untuk diri dan untuk anak-anaknya.”

Burns berkata, Al-Thani berasa takut kerana Abousalah tahu jadual anak-anaknya dan sering melihat ke luar tingkap ketika berada di rumah untuk memeriksa sama ada dia berada berdekatan.

Sundeep Pankhania yang mewakili Abousalah berkata, anak guamnya mengalami penyakit mental ketika melakukan kesalahan itu.

“Dia mempunyai pandangan tidak betul bahawa dia menjalin hubungan dengan puteri itu. Dia menceraikan isterinya kerana benar-benar percaya perkara itu.”

Abousalah ditahan dan didakwa menghendap, sebelum mengakui pertuduhan itu pada perbicaraan awal.

Hakim Louisa Cieciora berkata beliau mempertimbangkan kandungan laporan perubatan “dengan teliti” sebelum menjatuhkan hukuman kepada Abousalah.

“Tanggungjawab anda berkurangan dengan ketara disebabkan gangguan mental anda.”

Hakim berkata, kelakuannya memberi “tekanan sangat serius” kepada mangsa.

“Saya mengambil kira penyesalan anda dan saya terima ia adalah ikhlas.”

Hakim menjatuhkan hukuman perintah komuniti selama 12 bulan kepada Abousalah serta perlu menjalani pemulihan selama 30 hari.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah sekatan selama tiga tahun dan memerintahkannya untuk mendakti Al-Thani, suaminya serta kawasan Hyde Park.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.