
Jurucakap PBB, Farhan Haq memetik laporan Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) sambil menekankan “keperluan mendesak” membuka semula laluan masuk bagi membolehkan bekalan kritikal disalurkan.
“Lebih 60,000 kanak-kanak dilaporkan mengalami malnutrisi ketika dapur komuniti semakin kehabisan bekalan dan bahan api,” katanya dalam sidang media.
Beliau turut memberi amaran kekurangan bekalan air bersih untuk penduduk hilang tempat tinggal.
Ditanya sama ada pembunuhan disengajakan terhadap petugas kecemasan tanpa senjata boleh dianggap jenayah perang, Haq mengesahkan ia menepati takrif itu, namun enggan membuat kenyataan sementara siasatan dijalankan.
“Serangan terhadap petugas kemanusiaan merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan kami menegaskan perlunya kebertanggungjawaban dalam kes ini.”
Minggu lalu, akhbar New York Times mendedahkan rakaman video membuktikan pembohongan tentera Israel mengenai pembunuhan 15 anggota paramedik Palestin di selatan Gaza pada 23 Mac lalu.
Video itu diperoleh daripada telefon bimbit seorang paramedik ditemui tertanam dalam kubur besar.
Ia mendedahkan kenyataan awal tentera Israel kononnya kenderaan itu bergerak secara mencurigakan tanpa menyalakan lampu atau isyarat kecemasan serta tanpa koordinasi lebih awal tidak benar.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin sebelum ini mengumumkan penemuan 14 mayat dalam serangan itu.
Mangsa terdiri daripada lapan petugas Bulan Sabit Merah, lima anggota Pertahanan Awam dan seorang kakitangan agensi PBB.
Beberapa hari kemudian, Pertahanan Awam Palestin menemui satu lagi mayat anggota mereka, menjadikan jumlah korban serangan itu 15 orang.