
Seperti yang umum tahu, diet dan gaya hidup sihat adalah rahsia utama, begitu juga halnya dengan Anjalai Ponnusamy yang baru saja menginjak 101 tahun bulan ini.
Biarpun sudah lanjut usia, wanita itu kelihatan masih bertenaga dan dia juga adalah figura penting di kalangan masyarakat India di sini.
Di sebalik susuk tubuh yang sudah berusia, Anjalai mempunyai perjalanan hidup membanggakan apabila dia pernah berkhidmat sebagai anggota tentera dan mengendalikan pelbagai senjata api.
Dia tidak lokek berkongsi pengalaman malah bangga dapat berkhidmat di bawah arahan Netaji Bose iaitu satu nama yang cukup dikenali komuniti India tempatan dan luar negara.
Bose adalah tokoh kemerdekaan India yang hidup sezaman dengan Mahatma Gandhi dan berkongsi impiannya untuk membebaskan India daripada pemerintahan British.
Berbanding Gandhi, Bose percaya India hanya boleh dibebaskan menerusi kuasa tentera.
Bagi mencapai matlamat itu, dia mengasaskan Tentera Nasional India pada 1943 biarpun dengan sokongan Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
Namun, dia tidak sempat melihat pembebasan India apabila maut dalam nahas pesawat di Taiwan dua tahun kemudian sebelum Gandhi memimpin India untuk dibebaskan pada 1947.

Apa saja tanggapan terhadapnya, dia tetap dihormati oleh komuniti India dan begitu juga Anjalai yang melihatnya sebagai lelaki budiman.
Menceritakan kisahnya, Anjalai yang membesar di Sentul adalah anak kepada seorang penyelia di jabatan kesihatan dan seperti kanak-kanak lain ketika itu, dia tidak mampu untuk menamatkan persekolahannya.
Dia berusia 21 tahun ketika Jepun menjajah Tanah Melayu dan ketika itu dia tertarik apabila melihat wanita India berkawad sambil mengenakan pakaian seragam.
Mereka berkhidmat di bawah Rejimen Rani Jhansi iaitu Rejimen Wanita Tentera Nasional India diasaskan oleh Bose.
Kagum melihat mereka, Anjalai meninggalkan segalanya kerana ingin berkhidmat dalam angkatan beruniform itu dan dia dihantar ke Singapura untuk menjalani latihan asas ketenteraan termasuk menggunakan pelbagai senjata api.
“Saya dilatih menggunakan raifal, mesingan kecil Tommy Gun dan Sten,” katanya.
Sepanjang tempoh itu, Bose sering berada di sekitar kem rejimen terbabit dan melayan setiap tentera wanita seperti anak perempuannya sendiri.
Anjalai masih teringat bagaimana tokoh itu menjaga kebajikan mereka terutama melindungi wanita terbabit daripada diganggu tentera Jepun.
Ketika berada di Burma, dia masih ingat bagaimana pegawai tentera atasan Jepun mempersoalkan tindakan Bose yang membenarkan wanita menganggotai pasukan itu.
“Mereka bertanya kepadanya, apa yang semua wanita ini boleh lakukan di sini?
“Bose hanya menjawab, tanya mereka. Wanita ini akan memberi jawapan untuk diri mereka,” kata Anjalai ketika menceritakan perkara itu.

Biarpun diperlekeh tentera Jepun, wanita-wanita itu termasuk Anjalai tetap menunjukkan keberanian mereka meredah hutan tebal sambil memikul kelengkapan yang berat.
Ia membuatkan tentera Jepun terkejut tetapi kagum dengan semangat mereka.
Atas usaha itu, rejimen tersebut diberikan daging kambing dan susu yang diberikan Bose kepada semua anggota tentera.
“Dia seperti rakan buat kami. Dia agak tegas dengan pembahagian makanan untuk setiap anggota,” katanya.
Anjalai menceritakan satu insiden di mana Bose diberikan dua biji pisang memandangkan dia adalah seorang pegawai tentera.
Tokoh itu bagaimanapun menolak pisang kedua sambil menjelaskan anggota tentera sepatutnya menerima sebiji saja termasuk dirinya.
“Dia menghormati kami seperti anaknya. Dia menjaga dan melindungi kami. Kerana dia jugalah kami tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Walaupun sedar dengan kekejaman tentera Jepun, namun apa yang penting buat Bose ialah perjuangannya mendapatkan kemerdekaan untuk India.
Biarpun saling menghormati, terdapat perbezaan pendapat antara dirinya dan Gandhi ketika itu yang tidak bersetuju dengan keputusan beralih ke satu kuasa imperialis untuk mengusir kuasa imperialis lain.
Selepas perang tamat dengan kekalahan Jepun, Tentera Nasional India dibubarkan dan Anjalai pulang ke tanah air.
Dia antara insan yang bertuah apabila dapat menyaksikan saat bersejarah ketika Malaysia dan India mendapat kemerdekaan daripada penjajah British.
Kini, Anjalai banyak menghabiskan masa di atas kerusi rodanya di rumah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Namun, dia tidak lupa untuk mengamalkan diet sayur-sayuran dan mengambil susu setiap hari, mencontohi ibunya yang hidup sehingga berusia 105 tahun.
Anjalai adalah salah seorang rakyat Malaysia yang melalui perjalanan bersejarah yang boleh dianggap sebagai ‘jambatan’ buat Malaysia dan India.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]