
Kisah ini bermula pada tahun 1892, ketika ketua-ketua dari lima suku Hokkien di Pulau Pinang berkumpul setiap minggu di Lebuh Light untuk menyertai perlawanan bola sepak di padang besar berhadapan rumah agam milik taikun Foo Tye Sin.
Malangnya, bagi suku Khoo, Lim, Tan, Cheah dan Yeoh, peluang untuk menyertai perlawanan itu seolah semakin pudar setiap minggu selain merasa kehadiran mereka tidak disenangi.

Selain ahli sukan China, padang ini juga sering digunakan Kelab Rekreasi Pulau Pinang dan kelab tertua di pulau ini, iaitu Kelab Sukan Pulau Pinang.
Pada masa ini, kaum tidak pernah menjadi syarat untuk menyertai sesebuah kelab, sebaliknya pada zaman dahulu ia adalah penentu walaupun anda manusia terkaya di dunia.
Kelab Sukan Pulau Pinang adalah khusus untuk orang kulit putih begitu juga dengan Kelab Rekreasi Pulau Pinang, tetapi dengan sedikit kelonggaran untuk menerima ahli berbangsa Eurasia.
Oleh kerana orang Cina merasa tersisih oleh setiap kelab di pulau itu, mereka berpindah dan membawa perlawanan bola sepak mereka ke Lake Villa di Jalan Perak.
Mereka kini mempunyai kawasan baharu di Lake Villa, namun seperti namanya, perlawanan sering berakhir dengan pemain akan basah kuyup dari kepala hingga ke kaki bukan kerana peluh, sebaliknya kerana air tasik.
Ketika bola melambung ke udara, ia kadangkala masuk ke tasik berhampiran dan perlawanan sering terhenti kerana pemain terpaksa mengharungi tasik untuk mengutip bola yang terapung.
Akur dengan gesaan pemain yang hanya mahu bersukan tanpa sebarang gangguan, ketua lima suku Hokkien di Pulau Pinang memutuskan untuk mengumpulkan wang dan membeli sebidang tanah bagi membina kelab sukan mereka sendiri.

Menjelang tahun 1903 mereka telah membeli tiga bidang tanah di sepanjang Jalan Pangkor untuk memenuhi pertambahan anggotanya dengan harga $4600, satu jumlah yang agak besar ketika itu.
Lim Kek Chuan dan 7 individu berpengaruh lain termasuk Kapitan China Chung Thye Phin, adalah penderma utama dan sebagai tanda kesetiaan mereka kepada Inggeris, padang kelab itu dinamakan Victoria Green, bersempena nama Ratu England.

Individu-individu ini menganggap diri mereka sebagai “lelaki China Ratu” dan sanggup menerbangkan patung gangsa Ratu bernilai $10,000 dari England semata-mata untuk menyatakan kesetiaan mereka.
Segala-galanya berjalan lancar buat CRC sejak 1920-an hingga 30-an menyaksikan kelab itu berkembang pesat selain melahirkan atlet yang mencapai kejayaan besar seperti Khoo Hooi Hye.
Dia adalah orang Cina pertama yang pernah bertanding di Kejohanan Wimbledon pada tahun 1924.
Malangnya, pada dekad berikutnya CRC dan seluruh pulau itu dilanda bencana apabila Perang Dunia Kedua dan tentera Jepun mendarat di Pulau Pinang pada tahun 1941.
Setelah pihak bersekutu memusnahkan balai polis di Jalan Penang yang juga stesen penyiaran utama Jepun, mereka terus mengalihkan perhatian ke premis besar CRC.
Bimbang akan kemarahan dan kekejaman tentera Jepun, dengan berat hati Setiausaha Kehormat CRC, Low Hun Leong terpaksa menerima dan menandatangani surat perjanjian yang dikemukakan tentera itu.
Ironinya, walaupun orang Jepun adalah penulis sebenar surat tersebut, ia menyatakan bahawa ahli jawatankuasa nampaknya ‘sangat senang untuk membenarkan Kerajaan Dai Nippon menggunakan premis Kelab sebagai Stesen Penyiaran mereka.’

Umpama mimpi ngeri, tanpa berlengah lagi tentera Jepun mengambil alih Victoria Green dan membakar rekod, buku, kertas, dan gambar kelab malah turut merobohkan pagar premis tersebut untuk dijadikan besi buruk.
Mujur, piala hasil kerja keras CRC terselamat dari kemusnahan apabila Low berjaya melarikan trofi perak itu keluar dari kelab dengan satu rancangan bijak.
Difahamkan Low sanggup bersembunyi di reban ayam dan dengan pantas menyembunyikan trofi perak milik kelab itu dari pengetahuan orang Jepun.
Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, mungkin ramai menyangka kelab itu akan dikembalikan kepada anggotanya. Sebaliknya pihak Inggeris mengambil alih pusat penyiaran tersebut dan enggan menyerahkannya.
Berkat ketabahan dan kesabaran, selepas 7 tahun akhirnya kelab kesayangan mereka menjadi milik penuh anggotanya. Namun malangnya, mereka menerima CRC dalam keadaan yang amat menyedihkan. Memburukkan lagi keadaan, pihak Inggeris enggan membayar ganti rugi atas kerosakan yang mereka lakukan.
Berazam untuk melihat CRC dipulihkan seperti sediakala, sebuah jawatankuasa pemulihan dibentuk. Penderma yang menyumbang ke arah pemulihan kelab itu akan diabadikan namanya pada plak batu marmar yang tergantung pada salah satu tangga di kelab tersebut.
Tembok CRC yang berusia 129 tahun pernah menyaksikan ketidakadilan dan ketidaksamaan. Pada hari ini, kelab yang terus berdiri megah di Jalan Victoria itu adalah bukti sebenar keberanian dan ketekunan mampu mengatasi walau sebesar manapun rintangan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram