![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2021%2F05%2FGajah-jatuh-Elephant.jpg&w=3840&q=75)
Pihak berkuasa di India terpaksa mengambil masa selama lapan jam untuk menyelamatkan seekor anak gajah yang terjatuh ke dalam perigi sedalam 9 meter di India.
Anak gajah terbabit sebelum itu dikatakan bersama sekumpulan gajah memasuki kawasan perkampungan Nimatand di daerah Giridih sebelum terjatuh.
Kejadian disedari oleh penduduk keesokan harinya selepas mereka cuba menghalau kehadiran kumpulan gajah terbabit.
Penduduk kemudiannya bergegas mendapatkan bantuan pihak berkuasa untuk menyelamatkan anak gajah malang itu.
“Anak gajah ini kemungkinan terjatuh ke dalam perigi pada waktu malam iaitu sekitar jam 9 malam.
“Haiwan ini bernasib baik kerana air dalam perigi agak cetek dan ia tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata jurucakap kerajaan tempatan, Shashikant Verma.
Penduduk memaklumkan jabatan perhutanan sebelum pihak berkenaan melancarkan misi menyelamatkan anak gajah itu menggunakan tiga jengkaut.
Mereka terpaksa bertungkus-lumus selama berjam-jam lamanya memandangkan keadaan perigi yang agak dalam.
Pihak berkuasa itu akhirnya merobohkan dinding perigi dan membuat laluan untuk membolehkan haiwan berkenaan keluar dari kawasan terbabit.
Situasi cemas berkenaan akhirnya berjaya ditangani mereka selepas lapan jam berhempas pulas cuba menyelamatkan gajah terbabit yang keluar tanpa sebarang kecederaan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram