HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Sukan rakyat, permainan tradisional untuk gaya hidup sihat

-

Selain kos yang murah, sukan rakyat juga berpotensi menjadi daya tarikan pelancong di sesebuah lokasi.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Terdapat 28 permainan tradisional yang telah diangkat sebagai warisan negara antaranya congkak, dam, gasing, galah panjang, ketinting, tarik upih, guli, sepak raga dan kaki hantu. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU:
Permainan tradisional dan sukan rakyat perlu dipromosikan dengan lebih konsisten selaras hasrat Malaysia mahu melahirkan komuniti cerdas yang mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif bersukan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pelancongan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu Norazlina Rahmat berkata selain kos yang murah, ia juga berpotensi menjadi daya tarikan pelancong di sesebuah lokasi.

“Permainan tradisional dan sukan rakyat tidak hanya menguji kecekapan berfikir serta mengeratkan hubungan interaksi sosial, malah ia juga bagus untuk keseimbangan badan sekaligus meningkatkan kemahiran motor kasar dan motor halus terutama bagi kanak-kanak dan remaja.

“Ia sangat bagus untuk mereka berbanding hanya terperap di rumah dan ‘hanyut’ dalam permainan video yang lebih banyak memberi kesan buruk berbanding manfaatnya terutama untuk jangka masa panjang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengikut data Jabatan Warisan Negara, terdapat 28 permainan tradisional yang telah diangkat sebagai warisan negara antaranya congkak, dam, gasing, galah panjang, ketinting, tarik upih, guli, sepak raga dan kaki hantu.

Norazlina berkata usaha kerajaan dalam memartabatkan semula permainan tradisional dan sukan rakyat juga wajar dipuji kerana ia membuktikan keseriusan kerajaan memelihara warisan budaya, malah turut menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif bersukan.

“Contohnya di Kampung Budaya Terengganu, usaha Jabatan Pelancongan Negeri sangat bagus dalam mempromosikan permainan tradisional dan sukan rakyat dengan mengadakan demonstrasi kepada pengunjung.

“Begitu juga dengan penganjuran karnival dan pesta pantai sebelum pandemik COVID-19, banyak pertandingan permainan tradisional dan sukan rakyat ditonjolkan dan penglibatan orang ramai juga sangat memberangsangkan,” katanya menambah bersukan tidak semestinya memerlukan peralatan yang mahal.

“Hanya dengan sedikit kreativiti, permainan tradisional dan sukan rakyat mampu mewujudkan suasana ceria dan membuatkan badan berpeluh, itu yang paling penting untuk kanak-kanak dan remaja meninggalkan sementara gajet.

“Jika ruang yang ada agak terhad, kita boleh bermain sesuatu yang menguji minda seperti congkak manakala jika ada kesempatan seperti pulang ke kampung, boleh galakkan anak bermain galah panjang, kaki hantu dan ketinting bersama saudara-mara,” katanya yakin budaya aktif sukan dalam kalangan rakyat juga dapat dipupuk melalui permainan tradisional dan sukan rakyat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.