HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kemoterapi mampu panjangkan usia pesakit kanser, tapi apa kesan sampingannya?

-

Rawatan kanser paling efektif ini mungkin boleh mendatangkan kesan sampingan yang ringan atau teruk.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Kesan sampingan kemoterapi bergantung kepada jenis, tempoh rawatan, serta daya tahan individu yang menjalaninya. (Gambar Rawpixel)

Kanser adalah antara penyakit paling berbahaya lagi ditakuti ekoran kesannya yang boleh memendekkan usia serta meragut nyawa pada tahap terakhir.

Disebabkan itu, penderita penyakit kanser mungkin tiada pilihan lain selain menjalani rawatan kimoterapi untuk membantu pesakit dapat hidup lebih lama.

Pun begitu, tidak ramai yang tahu bahawa terdapat beberapa kesan sampingan kemoterapi ini. Apakah ia? Jom sama-sama kita semua ikuti artikel!

Kanser terbentuk akibat kerosakan sel tubuh badan

Untuk pengetahuan anda, setiap sel di dalam tubuh badan akan mengalami pusingan jangka hayat untuk membiak dan berhubung dengan sel-sel lain.

Sekiranya ada sel yang hilang kawalan mekanisma lalu membiak dan berhubung dengan sendiri, maka akan terjadi keadaan kesihatan yang bernama kanser.

Semua jenis kanser adalah kondisi di mana berlakunya pertumbuhan sel di luar kawalan dalam tubuh badan dari segi saiz dan bentuk.

Lantaran itu, ia kemudiannya akan mengakibatkan kerosakan sel-sel lain sekali gus merebak kepada organ, tisu, tulang atau darah pada tubuh badan.

Untuk merawatnya, sel kanser ini perlu dihentikan daripada terus menjangkiti sel-sel lain dalam tubuh badan sebelum terlambat!

Kemoterapi mampu hentikan rebakan sel kanser?

Kemoterapi merupakan rawatan paling popular dilakukan dalam kalangan pesakit kanser terutamanya yang berada pada tahap-tahap terakhir.

Ia merupakan satu kaedah rawatan menggunakan ubatan untuk menghentikan sel kanser dalam tubuh badan.

Kaedah ini berfungsi dengan cara menyerang sel terbabit agar ia tidak mampu untuk membiak atau berhubung dengan sel yang lain.

Cara rawatan dan ubatan juga mungkin akan berbeza bergantung kepada jenis kanser serta usia penderita penyakit ini.

Berikut merupakan jenis kemoterapi yang ada:

  • Oral – ubat dimakan dalam bentuk sirap dan pil
  • Aliran intravena – ubat disuntik melalui salur darah dan aliran intravena
  • Suntikan intramuscular – ubat disuntik pada otot
  • Suntikan subkutanes – ubat disuntik pada kulit
  • Suntikan intrathecal – ubat disuntik terus kepada cecair spinal

Ada kemungkinan di mana kemoterapi akan dijalankan sekali sehari, sekali seminggu atau sekali sebulan bergantung kepada tahap penyakit ini.

Walau apa pun jenis rawatan dan ubatan yang dicuba, ketahuilah bahawa anda mungkin tidak boleh lari daripada menerima kesan sampingan kemoterapi.

Kesan sampingan kemoterapi yang wujud

Malangnya, antara rawatan kanser paling efektif ini mungkin boleh mendatangkan kesan sampingan yang ringan atau teruk.

Namun, semuanya bergantung kepada jenis dan tempoh rawatan, selain juga dipengaruhi oleh daya tahan individu yang menjalaninya.

Berikut merupakan antara kesan sampingan kemoterapi yang wujud:

1. Perubahan pada rambut, kulit dan kuku

Segelintir individu akan mengalami masalah rambut gugur dan ia mungkin boleh dikawal menggunakan sarung kulit kepala khas.

Dalam pada itu, kulit juga mungkin akan lebih kering dan bengkak akibat terdedah kepada cahaya matahari yang terlalu lama.

Manakala kuku pula akan berubah warna seakan pucat yang mungkin tidak boleh dielak, namun boleh ditutup menggunakan cat kuku.

2. Kerap mual dan muntah

Ia adalah kesan sampingan yang paling tipikal dan kesan ini mungkin boleh dikurangkan dengan mengambil suplemen atas saranan doktor.

3. Keletihan

Normal untuk pesakit yang menjalani rawatan ini mengalami keletihan dan ia mungkin boleh dikurangkan dengan berehat di rumah sahaja.

4. Masalah pendengaran

Toksin yang terdapat dalam rawatan atau ubatan kemoterapi boleh menjejaskan sistem saraf lantas menyebabkan masalah pendengaran seperti:

  • Kehilangan pendengaran sementara atau kekal
  • Telinga berdengung (tinnitus)
  • Masalah keseimbangan tubuh badan

5. Masalah pendarahan

Kemoterapi juga akan mengurangkan kiraan platlet darah individu lantas mengakibatkan masalah pendarahan lebih mudah terjadi.

Sebagai contoh, individu mungkin akan lebih mudah mengalami:

  • Hidung berdarah
  • Gusi berdarah
  • Lebam pada tubuh badan
  • Pendarahan teruk meski hanya luka kecil

Bukan itu sahaja, sebenarnya terdapat beberapa lagi kesan sampingan kemoterapi yang bukan sahaja menjejaskan fizikal malahan mental.

Disebabkan itu, pesakit kanser disarankan untuk berkonsultasi dengan doktor terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk melakukan kemoterapi.

Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.